Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah salahkan PH kempen BMF dapat respon negatif
Diterbitkan:  Jul 4, 2020 12:10 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Gerakan Pembela Ummah menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kerana memberikan respons negatif terhadap kempen BMF (Buy Muslim First) yang dijuarai mereka selama 22 bulan gabungan itu menjadi kerajaan pusat dan negeri.

Susulan daripada itu, Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa, berkata pertubuhan berkenaan kini akan meneruskan kempen tersebut sempena pasca Covid-19.

“Kempen BMF ini dahulunya telah mendapat respons yang negatif daripada kerajaan pusat dan negeri yang diterajui oleh PH yang memerintah selama 22 bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menganggap BMF sebagai kempen yang tiada noktah, Mohd Zai berkata mereka akan memulakan kembali gerakan itu pada Okt ini. Tempat yang dipilih ialah di negeri Pantai Timur.

"Kempen ini tidak ada noktah berhenti kerana ia adalah kunci kepada kekayaan perniagaan umat Islam yang akan memberikan sumbangan dalam bentuk zakat kepada pembangunan masyarakat Muslim di Malaysia.

"Justeru Ummah akan meneruskan siri kempen BMF pascawabak Covid-19 yang akan bermula di negeri-negeri Pantai Timur dengan kerjasama agensi kutipan zakat dan majlis agama Islam negeri bermula Oktober 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asalnya BMF merupakan kempen yang mengajak orang ramai mengutamakan produk Melayu namun bertukar menjadi Muslim selepas mendapat kritikan beberapa pihak.

Agar ekonomi dapat diperkasakan

Ia dilihat mempunyai agenda tersembunyi kerana sebahagian daripada individu yang menggerakkan kempen itu juga merupakan pemimpin pembangkang pada waktu berkenaan.

Misalnya Kamaruzaman Mohamad - yang kini berkhidmat sebagai ketua penerangan PAS serta pengerusi Majlis Pensijilan Kayu Malaysia - adalah timbalan pengerusi Ummah.

Sepanjang tempoh 22 bulan menjadi kerajaan PH banyak berdepan dengan kritikan yang mendakwa gabungan itu mengancam Melayu dan Islam.

Untuk rekod, sepanjang tempoh itu juga negeri di kawasan Timur ditadbir sama ada PAS atau Umno.

Sejak kerajaan Perikatan Nasional - yang turut disertai PAS - dibentuk beberapa pihak membangkitkan persoalan mengapa kempen BMF tidak lagi digiatkan seperti sebelum ini.


Baca BMF turunkan harga barang dengan ketara - MP PAS


Menurut Mohd Zai Ummah berterima kasih kepada semua pihak sama ada pertubuhan, agensi-agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang menyokong usaha ini.

“Kempen BMF ini adalah agenda yang merentasi sempadan kaum, bangsa, parti politik, NGO dan kerajaan kerana ia adalah agenda memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini,” katanya.

Justeru Mohd Zai menyeru supaya semua pihak meneruskan kempen itu agar ekonomi umat Islam di negara ini diperkasakan. 

Lihat Komen
ADS