Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak perlu bincang dengan ketua bahagian isu penyertaan semula Salleh dalam Umno'
Diterbitkan:  Jul 4, 2020 3:04 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Umno Sabah bersedia untuk membuka pintu kepada mana-mana bekas pemimpin dan ahli parti yang ingin bergabung semula dengan perjuangan parti, kata pengarah komunikasinya, Ghazalie Ansing.

Justeru, kata Ghazalie tidak ada keperluan perbincangan bersama ketua bahagian diadakan terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan semula bekas bekas bendahari Umno Salleh Said Keruak.

"Umno Sabah membuka pintu kepada semua bekas pemimpin atau mana-mana pemimpin yang ingin berjuang bersama Umno.

"Justeru tidak timbul soal perlunya perbincangan ketua Umno Sabah bersama ketua bahagian terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan bekas pemimpin dan ahli Umno", katanya dalam kenyataan media.

Ghazalie berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berikutan gesaan ketua Umno Kota Belud, Fadli Juanas agar penyertaan semula Salleh dikaji dan dibincangkan dengan akar umbi.

Fadli semalam dilaporkan berkata anggota Umno masih kecewa dengan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu selepas kejatuhannya pada PRU14 dua tahun lalu.

Ghazlie juga menambah bahawa Umno adalah parti yang inklusif, dan bukan eksklusif yang menerima sesiapa sahaja rakyat Malaysia Bumiputera yang layak untuk menjadi ahli.

"Dalam politik perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli Umno yang ingin kembali bersama parti.

"Walaupun Umno Sabah sudah pulih, namun penyatuan semua pemimpin dan mesyarakat akan jaminan Umno bertambah kuat dan mantap," katanya.

Salleh, yang juga bekas ketua menteri Sabah, pada 30 Jun memaklumkan dia membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR.

Sebaliknya, Salleh memohon untuk kembali kepada Umno pada 26 Mei melalui ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pada Khamis lalu juga mengatakan bahawa walaupun gabungan itu tidak membantah permohonan Salleh, dia harus menjalani beberapa proses sebelum keputusan akhir diambil oleh kepemimpinan tertinggi Umno.

Lihat Komen
ADS