Malaysiakini
BERITA

Covid-19: M'sia kembali catat dua angka kes positif hari ini - KKM

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Jul 2020, 10:25 pagi

Malaysia kembali mencatat jumlah kes positif Covid-19 dua angka hari ini dengan 10 kes baru direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 10 kes baru itu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.

“Dalam kalangan warganegara Malaysia, satu kes positif dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kes saringan prapembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan kes itu telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain itu, satu kes positif penularan tempatan turut dikesan di Sabah dalam saringan petugas kesihatan yang telah tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,658 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 76 kes.

Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah didiscaj daripada wad turut menghampiri 100 peratus, iaitu sebanyak 97.7 peratus atau bersamaan 8,461 kes termasuk 15 kes pulih hari ini, katanya.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kedua-dua kes itu memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kluster Pudu, iaitu kluster kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan telah tamat tempoh pemantauan bermula hari ini.

“Kes positif Covid-19 pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei 2020 susulan saringan Covid-19 yang telah dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan syarikat itu).

“Sehingga 3 Julai 2020, seramai 3,387 orang telah disaring dan didapati 80 kes yang positif Covid-19 (iaitu kadar positif 2.36 peratus). Kes-kes positif kluster ini merangkumi 97.5 peratus bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dikesan, melibatkan 69 warga Bangladesh, tujuh Myanmar, dua Indonesia dan dua warganegara Malaysia.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.