Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan mudah BN berubah kepada lambang baru - Shabery

Bekas menteri penerangan, Ahmad Shabery Cheek menyifatkan bukan sesuatu yang mudah untuk BN menggunakan logo baru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jelasnya, lambang BN pernah melalui pasang surut sejak sekian lama penubuhannya termasuk ketika Dr Mahathir Mohamad menerajui parti.

"Lambang BN banyak melalui pasang surutnya. Namun berubah kepada lambang lain bukanlah suatu yang mudah. Pasti ada keistimewaannya," katanya lagi.

Ahmad Shabery berkata, BN pernah tewas kepada calon Bebas pada tahun 1988 dalam pilihan raya kecil (PRK) Johor Bahru sehingga merosakkan imej Umno dan BN ketika itu.

Ahmad Shabery Cheek

Pada PRK itu veteran Umno, Shahrir Samad bertanding sebagai calon bebas  bagi menentang BN dengan menggunakan lambang kunci.

Shahrir memenangi PRK berkenaan dengan majoriti lebih 12,000 undi.

"Brand (jenama) Umno dan BN rosak ketika itu. Hinggakan calon bebas berlambangkan kunci pun boleh menang. Ia mengambil masa untuk pulih.

"PRU ke- 14, sekali lagi lambang BN rosak. Namun ia hanya mengambil masa setahun untuk pulih.

"Sejak 2019 lambang BN diuji berkali-kali, Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan terkini, Chini, lambang ini mendapat kemenangan besar," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam satu wawancara bersama Umno Online menolak untuk parti itu menggunakan lambang lain bagi menghadapi PRU15.

Umno, BN yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju PN bertanding sebagai gabungan tunggal yang menggunakan lambang baru kerana ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat.

Katanya, parti yang menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjelaskan kepada rakyat, jika ia menggunakan lambang asing pada PRU akan datang.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata Umno negeri itu akan terus menggunakan logo BN dalam mana-mana PRU yang akan diadakan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pucuk pimpinan parti itu belum membincangkan mengenai penggunaan lambang baru bagi BN untuk PRU15.

"Sehingga ke masa ini Umno,BN belum buat apa-apa keputusan.

Bung Moktar Radin

"Namun, Umno Sabah akan membuat pendirian untuk menggunakan lambang BN dalam mana-mana pilihan raya diadakan," katanya kepada Malaysiakini.

Nada sama turut disuarakan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Armand Azha Abu Hanifah yang menyifatkan sebarang keputusan akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail, berkata pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin parti untuk membuat keputusan.

"Saya serahkan kepada pucuk pimpinan yang diketuai oleh presiden parti untuk membuat keputusan.

"Saya menyokong apa jua keputusan pucuk pimpinan parti yang diketuai presiden parti," katanya ketika dihubungi.

Lihat Komen
ADS