Covid-19: Lima kes baru, 4 pulih, tiada kematian
Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada suatu kenyataan berkata tiga kes import melibatkan dua rakyat Malaysia dan seorang bukan warga negara dengan tarat penduduk tetap.
"Kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia iaitu kes-kes saringan pra pembedahan...
"Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini," katanya.
Menurut Dr Noor Hisham penularan tempatan dikesan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.
"Sehingga 5 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat lima kes baru yang telah dilaporkan.
"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,663 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 77 kes.
"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," jelas beliau.
Tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban setakat ini kekal 121 orang.
Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengumumkan dua kluster berkaitan tempat kediaman iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras, telah tamat hari ini.

“Kluster Gombak dilaporkan pada 18 Mei 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak. Sehingga 4 Julai 2020, 200 orang disaring dan didapati lima kes positif melibatkan warga Malaysia.
“Kluster Pangsapuri Cheras dilaporkan pada 1 Jun 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras.
"Sehingga 4 Julai 2020, 144 orang disaring dan didapati lapan kes positif. Kluster ini melibatkan satu kes positif warga Indonesia manakala selebihnya adalah warga Malaysia,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, kes pertama kedua-dua kluster itu dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz (maahad) yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar dikenal pasti berisiko tinggi.
“Daripada siasatan yang dijalankan mendapati tiada kes positif Covid-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz (maahad) yang terlibat,” katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


