Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ada penyelesaian buat Umno jika tiada mana-mana pemimpin kanan parti itu layak dicalonkan sebagai perdana menteri, kata Veteran Umno.

Setiausaha agungnya, Mustapha Yaakub, berkata dalam keadaan sekarang Tengku Razaleigh Hamzah memang layak untuk diangkat Umno sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Kalau semua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak layak untuk jadi perdana menteri, saya nak beritahu: Ku Li layak.

"Kenapa tidak cadangkan nama dia?" katanya kepada Malaysiakini.

Ku Li ialah nama panggilan yang sering digunakan untuk merujuk kepada Tengku Razaleigh.

Beliau merupakan salah seorang pemimpin paling veteran dalam Umno ketika ini dan mewakili kawasan parlimen Gua Musang sejak 12 PRU lalu. Tengku Razaleigh mula menjadi ahli parlimen di situ sejak 1974.

Semasa pemilihan Umno pada tahun lalu Tengku Razaleigh dicalonkan sebagai presiden namun kalah kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Mustapha selain kedudukannya yang kanan dalam Umno Tengku Razaleigh ketika ini dilantik sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Dapat reaksi kurang senang

Sebelum ini, Umno dan PAS secara prinsipnya bersetuju untuk terus menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa, berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, Muhyiddin ketika ini mendapat sokongan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar.

"Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong perdana menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya," kata Annuar.

Tengku Razaleigh Hamzah

Bagaimanapun kenyataan Annuar itu mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan segelintir pemimpin Umno termasuk pemimpin veterannya, Shahrir Samad.

Semalam, giliran anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk PRU15.

Dalam satu hantaran di Facebooknya semalam, Mohd Puad berkata Umno tidak harus dijadikan "pajak gadai" jawatan perdana menteri kepada Bersatu.

Perkembangan itu menarik perhatian sesetengah pihak kerana melihat suara bantahan tersebut kebanyakannya datang dari bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Muhyiddin Yassin

Sementara itu, Mustapha berkata kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan PAS itu memberi gambaran seolah-olah dua parti dominan orang Melayu itu ketandusan calon perdana menteri.

"Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah dua parti ini tidak mempunyai individu yang layak calonkan sebagai perdana menteri.

"Kalau yang lain tak layak, calonkan lah Ku Li, dari segi pengalaman beliau layak dan pernah memegang jawatan penting dan menteri kanan dalam kerajaan sebelum ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS