Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno menarik balik permohonan untuk prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank kerana tidak melepaskan wang sebanyak RM192.9 juta milik parti itu.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyekat pengembalian wang berkenaan.

Pihak pendakwaan sebelum ini menuntut penangguhan sementara bagi menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Feb untuk menolak saman pelucutan hak dana berkaitan 1MDB.

Semasa prosiding mahkamah di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, peguam Umno Tania Scivetti memaklumkan mereka mendapat arahan untuk menarik balik tindakan menghina mahkamah terhadap CIMB Bank.

"Kami menerima arahan untuk menarik balik proses penghinaan (terhadap CIMB Bank)," kata Scivetti kepada mahkamah dan Zaini membenarkan permohonan penarikan.

Pada awal Jun lalu, Umno mengemukakan tindakan menghina mahkamah ke atas CIMB Bank kerana belum mengembalikan wang bernilai RM192.9 juta kepada parti tersebut.

Pada 19 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pengembalian RM192.9 juta, sementara menunggu rayuannya ke Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding hari ini, peguam CIMB Bank, Rabindra Nathan, menjelaskan kepada mahkamah syarikat terbabit sudah memberikan akses kepada Umno untuk dana berkenaan.

Katanya ia diberi kira-kira jam 2.20 petang Jumaat lalu. 

Sementara itu ditemui kemudian, Tania berkata, Umno meminta agar permohonan mereka ditarik balik ekoran keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Dia juga mengesahkan Umno kini diberikan akses kepada wang bernilai RM192.9 juta itu sejak jam 2.22 petang Jumaat lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS