Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sambutan Hari Alam Sekitar 2020 di Kubang Kerian 'hadiah' buat Kelantan

Buat julung kalinya, Kelantan diberi penghormatan sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang akan berlangsung pada Oktober nanti.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata program tahunan peringkat kebangsaan itu memilih parlimen Kubang Kerian sebagai lokasi penganjurannya.

Menurut beliau, pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah itu dibuat sebagai hadiah sempena negeri itu kini merupakan salah satu negeri yang sama pihak dengan kerajaan pusat selepas sekian lama menjadi negeri pembangkang.

"Insya-Allah (berlangsung) pada minggu ketiga bulan Oktober nanti, kita sudah mengenal pasti tapak untuk pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020 dengan kerjasama kerajaan Kelantan, Universiti Sains Malaysia dan beberapa agensi lain.

"Ini kali pertama Kelantan jadi tuan rumah. Pertamanya kerana Kelantan adalah sebahagian daripada kerajaan pusat. Ini hadiah kepada Kelantan, usaha-usaha berterusan oleh kerajaan Kelantan yang kementerian hargai dan sebagai pengiktirafan atas usaha tersebut.

"Kita ada adakan di kawasan Kubang Kerian, ada inisiatif lain yang akan diumum nanti.

Menurut timbalan presiden PAS dan ahli parlimen Kubang Kerian itu, itu ada sebab mengapa kawasan tersebut dipilih untuk mengadakan sambutan berkenaan.

"Bukan kerana ahli parlimennya, tetapi ada satu projek besar di peringkat kerajaan negeri juga melibatkan kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Untuk rekod Hari Alam Sekitar Negara diperkenalkan selepas termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Okt 1989.

Sejak 1991, Kementerian Alam Sekitar dan Air (dulu dikenali sebagai Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) menerusi Jabatan Alam Sekitar merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sebagai usaha berterusan kerajaan menerap dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat Malaysia.

Penganjurannya disambut pada setiap tahun antara 21 hingga 27 Oktober dan diisi dengan pelbagai program bertemakan alam sekitar.

Lihat Komen
ADS