Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 kes import baru, 2 lagi jangkitan tempatan
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 5:22 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan lima kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,668 kes.

Dalam sidang media petang ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 11 lagi dilapor sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu ialah 8,476.

Daripada lima kes baru yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara (pemastautin tetap).

Perician dua kes penularan di dalam pula negara adalah seperti berikut:

  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu kes bukan warganegara iaitu saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Daerah; dan
  • Selangor: satu kes warganegara Malaysia iaitu saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8649). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8649;

Kesemua kes baru sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 71 kes.

Dua pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan bahawa tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.

Sementara itu, bagi status terkini bilangan pesakit dalam pemantauan (PUS) yang didiscaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun dan kemudiannya diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO), setakat tengah hari tadi, daripada 5,804 individu di bawah arahan HSO ini, 414 orang masih perlu menjalani ujian hari ke-13.

Jumlah ini adalah 206 orang kurang daripada jumlah yang telah dilaporkan pada 2 Julai 2020, kata Noor Hisham.

Selebihnya, iaitu 5,390 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan hari ke-13 didapati negatif.

"Namun, bilangan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada situasi di Negeri Victoria di Australia yang membuat pengumuman untuk menutup 55 laluan masuk di sempadan negeri itu dengan New South Wales (NSW) selepas kes Covid-19 kembali meningkat di sana.

"Ini susulan daripada jangkitan virus itu kembali menular di beberapa bandar utama dan salah satu faktor berlaku pelanggaran SOP oleh penduduk yang pulang dari luar negara di pusat-pusat kuarantin," katanya.


 



Lihat Komen
ADS