Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno, PAS bentuk jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri

Pengerusi Umno negeri dan pesuruhjaya PAS negeri semalam berkumpul bagi pembentukan jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri.

Majlis taklimat yang diadakan secara tertutup itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Sesi taklimat berkenaan dihadiri Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah.

Malaysiakini difahamkan taklimat itu bagi menyelaras pergerakan Muafakat Nasional antara Umno dan PAS di peringkat negeri dan juga Parlimen.

Ia sekali gus ke arah mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional selepas BN tewas dalam PRU14 pada Mei 2018.

Ketika berada di kerusi pembangkang buat pertama kali dalam sejarah, Umno menjalinkan kerjasama politik dengan PAS bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua parti itu memeterai kerjasama secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional ketika Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019.

Ia sekaligus mencatat peristiwa penting dalam politik negara apabila dua parti yang berseteru sejak 1978 itu berkongsi pentas yang sama.

Kedua-dua parti itu kemudian bergabung dengan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin selaku presidennya pada penghujung Februari lalu bagi menubuhkan sebuah kerajaan baru susulan krisis politik yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton'.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebooknya berkata pembentukan jawatankuasa itu memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional.

"Kepimpinan utama Umno dan PAS yang mewakili negeri-negeri berkumpul di PWTC bagi merealisasikan pembentukan Jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri-negeri dan bahagian-bahagian seluruh Malaysia.

"(Ia) tertangguh hampir lima bulan lantaran pandemik Covid-19.

"Mudah-mudahan dengan pembentukan jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi kesefahaman dan kesepakatan gerak kerja bukan sahaja di peringkat atasan tetapi lebih mustahak hingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Lihat Komen
ADS