KKM ramal kluster Sri Petaling tamat satu atau dua minggu lagi
Kluster Covid-19 terbesar di negara ini - himpunan tabligh Sri Petaling - dapat diselesaikan dalam satu atau dua minggu lagi, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu memberitahu perkara berkenaan kepada wartawan semasa akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Jelas Noor Hisham, ketika ini, hanya ada satu kes positif dari kluster itu.
"Lebih 16,000 orang telah berkumpul. 1,500 dari luar negara, kebanyakannya telah kembali ke kampung masing-masing.
"Tindakan bersepadu semua pihak telah berjaya mengesan jangkitan Covid-19 jemaah tabligh ini, dan setakat ini, 34 kematian dicatatkan.
"Kita harap dalam masa terdekat, seminggu, dua akan tamat pengawasan dan pemantauan kluster himpunan Sri Petaling. Ini satu kejayaan kerjasama sepadu Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain," katanya.
Terdahulu semasa sidang media, Noor Hisham mengatakan bahawa sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 3,375 kes yang melibatkan kluster itu direkodkan oleh KKM.
Daripada jumlah tersebut, 3,340 pesakit telah pulih sepenuhnya sementara 34 yang lain terkorban.
Untuk rekod, kali terakhir kluster Sri Petaling mencatat kes positif baru adalah pada 22 Jun.
Menurut prosedur operasi standard KKM, kluster jangkitan hanya dapat dinyatakan tidak aktif 28 hari setelah kes positif yang terakhir dilaporkan.
Kluster Sri Petaling hanya dikesan oleh pihak berkuasa kesihatan setelah lapan hari perhimpunan berakhir pada 1 Mac.
KKM hanya diberitahu bahawa ada kes positif Covid-19 pada 9 Mac ketika rakan sejawat Noor Hisham dari Brunei memaklumkannya.
Sejak itu, kluster itu merebak hingga lima generasi jangkitan.
Noor Hisham juga memuji jemaah tabligh atas kerjasama mereka sepanjang operasi pihak berkuasa untuk mengesan penyebaran virus tersebut.
"Kami juga mendapat kerjasama yang baik daripada jemaah tabligh dalam tampil untuk ujian.
"Ini menunjukkan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat dapat membantu mengekang penyebaran Covid-19 di negara kita," katanya.

