Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Firma PR masih dibayar jutaan dolar untuk perkhidmatan kepada Jho Low
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 11:10 PM
Dikemaskini: 3:11 PM

Sebuah firma perhubungan awam yang berpusat di London masih dibayar berjuta dolar untuk perkhidmatan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikehendaki sebagai suspek utama dalam dakwaan penyelewengan dana berbilion ringgit 1MDB.

Akhbar UK, The Guardian melaporkan, Schillings, sebuah firma yang khusus menguruskan reputasi pelanggannya yang kaya, dibayar AS$ 1.3 juta (RM5.56 juta) untuk perkhidmatan yang diberikan kepada Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, antara Januari 2019 dan Mac 2020.

Memetik dokumen yang didedahkan, laporan itu menyebut beberapa aktiviti yang dijalankan termasuk "memaklumkan mengenai pendapat umum" di Amerika Syarikat.

Tugas lain termasuk menyiapkan kenyataan akhbar dan menyelenggara laman web untuk Jho Low.

Pada tahun 2018, Schillings mengirim surat kepada penjual-penjual buku dengan mengancam tindakan undang-undang ke atas penjualan buku "Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World" yang memperincikan tuduhan terhadap Jho Low.

Laporan itu menyatakan pendedahan itu juga menunjukkan bahawa agensi hubungan awam dan pengurusan krisis yang berpusat di London, PHA Group telah menerima 275,000 pound sterling (RM1.47 juta) sejak 2018 untuk mewakili Low.

Laporan itu memetik seorang peguam dari Schillings yang menjawab bagi pihak Schillings dan PHA Group, mengatakan bahawa mereka telah mematuhi semua undang-undang dan peraturan.

Pada tahun 2018, The New York Times melaporkan pasukan peguam yang mewakili Jho Low menghabiskan AS$ 1.1 juta pada tahun itu untuk memperbaiki imejnya susulan skandal 1MDB.

Perkhidmatan itu termasuk respons perhubungan awam ketika krisis selama 24 jam, usaha untuk mempengaruhi keputusan carian internet, dan laman sesawang yang memuatkan laporan antarabangsa dan dokumen perundangan berkenaan sisi pandangnya dalam skandal itu.

Kempen itu dilaporkan dijalankan oleh dua firma guaman Amerika Syarikat ternama, iaitu Kobre & Kim dan Schillings International.

Perincian ini dijelaskan dalam pemfailan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), mengikut Akta Pendaftaran Agen Asing (Fara).

Low yang menafikan sebarang salah laku, didakwa tanpa kehadiran di AS kerana terlibat dalam pengubahan wang haram.

Dia juga didakwa tanpa kehadiran di Malaysia berhubung pengubahan wang haram yang melibatkan sejumlah AS$ 1.03 bilion pada penghujung 2018.

Skandal itu menyebabkan kerajaan BN yang diketuai perdana menteri Najib Razak ketika itu, tumbang pada pilihan raya umum 2018.

Najib kini sedang menghadapi perbicaraan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan cubaan menutup skandal itu.

Lihat Komen
ADS