Petronas menolak permintaan supaya ia menambah sumbangan kepada kerajaan walaupun ia mencatatkan keuntungan tertinggi baru-baru ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Seri Hassan Marican berkata, syarikat pertroleum nasional itu telahpun menyalurkan 76.5 peratus atau RM41.7 bilion daripada keuntungan kepada kerajaan.

"Yang tinggal dengan kami ialah 23.5 peratus lagi yang hendak dilaburkan semula bagi mengembangkan perniagaan. Bahagian yang sangat besar daripada keuntungan itu telah diberikan kepada kerajaan," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar mingguan The Edge keluaran terbaru.

Menurut Hassan, Petronas perlukan dana untuk perbelanjaan modalnya yang dijangka mencecah RM27 bilion pada tahun depan.

Beliau berharap kerajaan tidak meminta sumbangan tambahan dari Petronas walaupun sebagai pemegang saham tunggal dalam syarikat tersebut ia berhak berbuat demikian.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat multi nasional yang menawarkan bon dan pinjaman di pasaran modal antarabangsa, Petronas perlu terus berkembang dan membuat pelaburan baru dan menjaga kredibilitinya.

"Kita tidak mahu Petronas menjadi seperti syarikat minyak lain di mana setiap ringgit diambil keluar dan tindakan itu akhirnya mnenjejaskan pelaburan dan pengembangan syarikat berkenaan. Jika itu berlaku pada Petronas, ia akan menjejaskan penarafan dan kedudukan kreditnya," jelas beliau.

Petronas merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang termasuk dalam senarai 500 syarikat terbesar dunia di bawah Fortune Global 500.

Petronas sejak awal tahun ini menjadi sasaran rakyat apabila kerajaan menaikan harga minyak sebanyak 30 sen.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan parti pembangkang telah menganjurkan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur bagi mendesak kenaikan harga tersebut ditarik balik. Para penunjuk perasaan juga mendesak Pertonas menyalurkan perolehannya terus kepada rakyat. Berita asal