Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Thomas Fann tutup mulut, tapi ‘sedia ke mahkamah’
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 3:50 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Pengerusi Bersih Thomas Fann hari ini memilih berdiam diri ketika siasatan polis berkaitan perhimpunan menolak Langkah Sheraton pada 29 Mac lalu.

Katanya, dia menggunakan haknya mengikut Seksyen 112(2) Kanun Tatacara Jenayah yag membolehkannya untuk tidak menjawab pertanyaan, dan hanya memberikan maklumat asas diri kepada polis.

“Jika mereka percaya ada kes terhadap saya sebagai penganjur, mereka bebas untuk mendakwa saya, saya akan jawab di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, selepas soal siasat selama 20 minit.

Fann disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) membabitkan dua hantaran di laman Facebook rasmi Bersih.

Menurutnya, polis pada mulanya memberitahu hanya ada satu siasatan berkait dengannya.

Bagaimanapun seorang pegawai polis hari ini memberitahunya bahawa terdapat dua siasatan terhadapnya, katanya lagi.

Siasatan pertama berhubung hantaran pada 25 Februari yang menggesa orang ramai untuk memprotes "kerajaan pintu belakang yang tidak demokratik".

Siasatan kedua pula membabitkan hantaran pada 29 Februari yang menggesa orang ramai yang tidak setuju dengan pertukaran kerajaan melalui "Langkah Sheraton" supaya menghadiri tunjuk perasaan.

"Saya disiasat sebagai penganjur kedua-dua tunjuk perasaan ini," kata Fann lagi.

Dia menjelaskan bahawa walaupun terdapat beberapa tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan yang berlainan selepas "Langkah Sheraton", Bersih mengajak orang awam untuk melakukan tunjuk perasaan secara aman.

Dia juga menekankan bahawa perhimpunan aman adalah hak asasi rakyat di bawah perlembagaan dan juga mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana menggunakan polis untuk menutup suara yang menentangnya.

"Kami melihat ini sebagai kembalinya era BN di mana mereka menggunakan siasatan polis sebagai taktik intimidasi, untuk menakutkan aktivis sosial dan ahli politik pembangkang.

"Kami memahami bahawa lebih banyak aktivis akan dipanggil untuk siasatan seperti itu, tetapi kami (tidak) tidak akan ditakutkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS