Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP pecat ahli bantu Adun yang tinggalkan parti
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

DAP telah memecat ahli-ahli parti yang membantu Adun yang sudah meninggalkan parti itu dan menyokong Perikatan Nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen berkata, jawatankuasa itu hari ini telah memutuskan untuk memecat anggota parti Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong.

Chong berkata keputusan ini berdasarkan aduan yang dibuat terhadap mereka kepada jawatankuasa tatatertib setelah ketiga-tiga mereka mengadakan bantahan balas untuk menyokong wakil rakyat Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

"Kesemua mereka didapati aktif membantu Paul Yong Choo Kiong yang telah dipecat oleh jawatankuasa ini walaupun jawatankuasa ini telah memberikan amaran kepada ahli-ahli sebelum ini supaya tidak lagi bersama dengan ahli-ahli wakil rakyat yang telah lompat parti atau dipecat.

"Kong Lai Ling juga telah menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Batu Gajah kerajaan PN," katanya.

"Jawatankuasa disiplin sekali lagi menegaskan bahawa jawatankuasa ini tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahli yang menerima jawatan dengan kerajaan PN, atau masih bersama-sama atau membantu ahli-ahli wakil rakyat yang telah mengkhianati perjuangan parti.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya jawatankuasa ini menerima aduan," kata kenyataan itu lagi.

Yong, yang sebelum ini merupakan Adun bagi DAP di DUN Tronoh, telah keluar dari parti itu untuk menyokong PN di Perak, yang menyebabkan tunjuk perasaan di pusat khidmatnya.

Yong mengumumkan keluar parti pada 9 Mac, bersama dengan Adun Buntong DAP A Sivasubramaniam.

Sivasubramaniam kemudian bergabung dengan Gerakan, yang kini merupakan sekutu PN.

Chong berkata, jawatankuasa tatatertib DAP juga telah mengenal pasti ahli parti yang menghadiri sidang media Sivasubramaniam pada 26 Jun untuk mengumumkan kemasukannya ke Gerakan dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap mereka.

Mereka adalah Dan Adriel Daniel Velloo, Angeline Philip Joe Philip, P Murugiah, Joseph Hendry Kovil Pillai John, Amir Abdullah, R Marimutu, S Theivanai dan William John Johin Bin.

Chong berkata, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk menggantung anggota parti Loh Eng Soon selama satu tahun kerana memburuk-burukkan nama pimpinan negeri dalam akaun Facebook.

Lihat Komen
ADS