Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
6 kes baru Covid-19: 4 import, 2 saringan tempat kerja
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Terdapat enam kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, dengan empat daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 setakat ini kepada 8,674 kes.

Dua kes lagi adalah penularan tempatan yang merupakan kes saringan tempat kerja, masing-masing di Kuala Lumpur dan selangor.

"Semuanya melibatkan warga Malaysia," kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, seramai lima lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 8,481 kes, iaitu 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Terdapat dua pesakit yang kini diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta diberikan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian kekal 121 kes, atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Noor Hisham memaklumkan setakat 3 April lalu, sejumlah 647 kes import telah dicatatkan, termasuk di kalangan rakyat Malaysia dan penduduk tetap.

Sejak tarikh itu, kerajaan mewajibkan semua yang kembali dari luar negara untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, ketetapan itu ditamatkan pada 10 Jun, apabila mereka yang kembali di luar negara diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Setakat ini, katanya, tiada kes jangkitan di kalangan ahli keluarga daripada mereka yang menjalani kuarantin di rumah, yang merupakan perkembangan positif dan menunjukkan kaedah itu mendatangkan hasil.

"Namun begitu, ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap HSO (home surveillance order) yang ditetapkan agar tidak berlaku risiko jangkitan di dalam komuniti," katanya lagi.

 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS