Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin enggan mendedahkan identiti orang tengah yang sedang berusaha 'mendamaikan' Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi.

Walaupun didesak berkali-kali oleh para wartawan, beliau sekadar berkata sesiapa sahaja boleh menjadi orang tengah dalam pertemuan itu kerana matlamatnya ialah untuk mendamaikan Abdullah dan Dr Mahathir.

Beliau juga menjelaskan usahanya itu adalah inisiatifnya sendiri dan tiada kena mengenai dengan Umno.

" Ini semua inisiatif saya sendiri. Saya bukan mahu mencari publisiti, saya tidak suka melihat gambar saya di akhbar," ujarnya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga menegaskan, usahanya mahu mendamaikan Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri itu adalah untuk kepentingan parti dan negara.

Sejak tercetus cadangan menggunakan orang tengah itu minggu lalu, beberapa nama termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob dan seorang ahli pernigaan, Datuk Mohd Abid disebut-sebut sebagai orang yang dilantik sebagai orang tengah berkenaan.

Menurut Zainuddin lagi, inisiatifnya tiada kena mengenai dengan parti kerana beliau tidak mendapat mandat untuk mewakili Umno atau kerajaan.

"Tetapi saya telah mendapat izin dari Datuk Seri Abdullah sebelum beliau berlepas ke luar negara dan beliau merestui usaha saya ini.

"Saya juga telah menemui Tun Dr Mahathir Sabtu lalu dan beliau juga setuju dengan cadangan menggunakan orang tengah ini," katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi perjelasan tentang inisiatifnya itu.

Semalam Najib berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pelan damai antara Abdullah dan Dr. Mahathir itu dan mahu Menteri Penerangan memberi penjelasan kepadanya.

Zainuddin bagaimanapun enggan menyatakan butir-butir penjelasan yang diberikan kepada Najib.

Beliau sekadar berkata; "Saya harap beliau memahami apa yang telah saya jelaskan."