Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Nazri saran Muhyiddin terajui kepimpinan Umno
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 5:27 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Pemimpin Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali menyertai Umno dan mengambil alih jawatan presiden parti daripada Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas menteri pelancongan itu berkata, jika Muhyiddin kembali menyertai Umno banyak perkara dapat diselesaikan khususnya membabitkan isu agihan kerusi.

"Muhyiddin tidak tinggalkan kita (Umno) tetapi dipecat dan sekiranya beliau kembali, sumbangannya amat besar kerana bawa balik jawatan perdana menteri kepada Umno.

"Tidak berbangkit apa akan jadi kepada presiden Umno kerana yang penting adalah parti, kita kena terima dengan tangan terbuka," katanya seperti dilapor Astro Awani.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan beberapa pemimpin Umno mengemukakan tawaran supaya presiden Bersatu itu kembali menyertai Umno.

Bahkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri membuka pintu kepada Muhyiddin untuk kembali menyertai parti itu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman juga pernah melontarkan cadangan agar Muhyiddin dan pemimpin Bersatu lain kembali ke pangkuan Umno.

Dalam pada itu, Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas mencadangkan agar jawatan presiden Umno diserahkan kepada Muhyiddin.

Rasionalnya kerana secara tradisinya jawatan perdana menteri dipegang oleh presiden parti dan ahlI Umno perlu menerimanya secara terbuka.

"Kita sebagai orang Melayu kena sentiasa sedia bermaaf-maafan demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

"Kita kena bagi jawatan presiden Umno sebab beliau kembali bukan dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan perdana menteri, kita kena terima, kena berkorban dan menerima dengan terbuka.

"Saya seorang anak Melayu, pada saya tidak ada pengorbanan yang tidak boleh kita lakukan demi agama dan bangsa kita," katanya lagi.

Jelas beliau, hanya dengan penyertaan Muhyiddin dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi ketika ini.

Bagaimanapun katanya terpulang kepada Anggota Parlimen Pagoh itu untuk kembali menyertai Umno bersendirian ataupun membawa bersama wakil rakyat Bersatu.

Lihat Komen
ADS