Malaysiakini
BERITA

Amanah: Cara SPRM siasat pegawai Mat Sabu keterlaluan

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jul 2020, 9:31 pagi

Parti Amanah memandang serius berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai presiden parti mereka Mohamad Sabu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli menyifatkan langkah yang diambil SPRM dalam siasatan terhadap pegawai Mohamad itu sebagai "keterlaluan".

Kata Mohd Hatta, SPRM melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi ini tanpa mengemukakan waran geledah kepada pegawai keselamatan bangunan.

Mohd Hatta juga menyorot bahawa permohonan reman tidak diperlukan kerana menurutnya, pegawai Mohamad itu akan memberi kerjasama.

"Hanya sekiranya beliau tidak hadir bila dipanggil dan tidak memberi kerjasama dengan SPRM mungkin ada alasan untuk dia direman.

"Amanah memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan (excessive). Amanah memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan.

"Kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imej SPRM," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Hatta berkata pihaknya masih belum dapat maklumat sama ada pegawai Mohamad itu dibenarkan bertemu peguam.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah menangkap dan menahan seorang pembantu kepada Mohamad, yang juga bekas menteri pertahanan.

Susulan itu, pegawai bekas menteri pertahanan itu direman enam hari selepas ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara bernilai lebih RM56 juta.

Suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 8 malam semalam, selepas hadir memberi keterangan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.