Malaysiakini
BERITA

Gelar Al Jazeera sebagai Al Jahiliyah, tindakan sudah diambil - Menteri

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jul 2020, 4:46 pagi

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata tindakan telah diambil berkaitan kejadian pengacara program bual bicara Bernama TV mengutuk stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera dengan memanggilnya "Al Jahiliyah."

"Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu. Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu. 

"Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil," katanya pada hantaran di Twitter.

Ketika mengakhiri program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu di stesen agensi penyiaran negara itu, pengacara Herleena Pahlavy berkata: "Al Jazeera, ‘you shut up’.”

Kejadian itu berlaku di tengah laporan Al Jazeera mengenai dakwaan penganiayaan pendatang di negara ini semasa wabak Covid-19, yang menimbulkan kemarahan kerajaan.

Polis telah memulakan siasatan terhadap wartawan terlibat dalam laporan itu manakala Jabatan Imigresen sedang menjejaki pendatang yang diwawancara di dalam dokumentari Al Jazeera.

Pahlavy turut mendakwa laporan Al Jazeera itu kurang beretika.

“Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang.

"Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,” katanya.

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menegaskan kerajaan tidak mendiskriminasi pekerja asing ketika wabak Covid-19.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.