Berita baik untuk semua jemaah haji Malaysia - kadar tambang ke tanah suci pada musim ini kekal seperti tambang musim haji tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata setelah mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan tambang haji pada harga lama kerana ia disifatkan sebagai satu tanggungjawab sosial kepada jemaah haji.

"Walaupun harga minyak di pasaran dan penginapan di Mekah telah naik, tetapi kita dapat `maintain' lagi, iaitu untuk kekalkan tambang. Ini merupakan tanggungjawab sosial kita kepada jemaah haji yang ingin mengerjakan haji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah `Menghayati Konsep Islam Hadhari' kepada lebih 1470 pelajar baru sesi Julai 2002 di Dewan Sultan Zainal Abidin, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem).

Katanya, Lembaga Tabung Haji akan menghubungi semua jemaah haji mulai minggu ini bagi memaklumkan tentang perkara itu.

Menurut laporan Bernama, Abdullah juga berkata semua bakal haji dikehendaki mencukupkan wang perbelanjaan haji selewat-lewatnya pada 25 Ogos ini dan kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan nama mereka dikeluarkan daripada senarai pemilihan serta digantikan dengan bakal haji lain yang berkelayakan.

Beliau juga menasihati semua bakal haji yang akan menunaikan fardu haji pada tahun ini supaya menghadiri kursus haji dan menjaga kesihatan mereka.

Kali terakhir Tabung Haji menaikkan tambang pada 2002, menjadikannya RM9,096 bagi pakej biasa (muasassah) berbanding kadar lama RM5,500 untuk jemaah dari Semenanjung dan RM6,000 (Sabah/Sarawak).