Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya petang semalam, ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok petai.
Kejadian berlaku di kawasan lereng bukit Kampung Temin di Ulu Kinta, Ippoh hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Azman Hussin berkata mayat Jawahir Pandak, 45, ditemukan dalam keadaan tertiarap bersebelahan pokok petai tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi.
“Sepasukan 13 anggota dan pegawai dengan dua jentera digegaskan ke lokasi selepas menerima laporan pihak polis mengenai seorang lelaki dipercayai terjatuh dari sebatang pokok pada jam 11.26 pagi tadi.
“Pasukan bomba terpaksa mendaki sejauh 4.6 kilometer dan melalui jalan yang curam serta licin selama satu jam 15 minit sebelum menemukan jasad lelaki terbabit dalam keadaan tertiarap di sebelah pokok petai.
"Pasukan perubatan yang hadir mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Azman operasi itu ditamatkan pada 3.15 petang. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
- Bernama
