Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Rahang umum keluar DAP, masih sokong PH
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 12:03 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh mengumumkan keluar dari DAP hari ini, tetapi berhasrat untuk terus kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Adun yang telah memegang kawasan Rahang selama dua penggal itu membuat pengumuman berkenaan dalam sebuah sidang media hari ini.

Mary dengan penuh emosi berkata dia telah berulang kali diketepikan dari proses membuat keputusan.

"Sangat menyakitkan, saya telah bersama DAP selama 46 tahun. Saya masih menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya meletakkan jawatan sebagai setiausaha organisasi Wanita DAP, naib ketua wanita PH nasional, ketua wanita DAP negeri dan timbalan ketua wanita PH negeri," katanya.

"Keputusan saya adalah muktamad.

"Saya mahu pengundi saya tahu, saya masih ada bersama anda. Saya masih Adun anda, saya masih dengan kerajaan Pakatan Harapan, saya akan terus berkhidmat untuk rakyat. Pusat perkhidmatan saya yang beroperasi dua kali sebulan akan berterusan.

"Saya tidak berubah, saya masih YB, saya masih orang yang sama. Datanglah kepada saya jika anda mempunyai apa-apa masalah," katanya lagi.

Veteran parti itu dilaporkan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan negeri untuk tidak mengesahkan pemilihan ketua majlisnya untuk majlis pengurusan masyarakat desa yang diumumkan oleh kerajaan negeri pada hari Rabu (8 Julai).

Mary mengatakan bahawa dia telah mengirim surat peletakan jawatan kepada ibu pejabat DAP, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan juga kepada speaker Dewan Undangan Negeri.

"Saya mengundurkan diri dari DAP, dengan kekecewaan berkuat kuasa pada 10 Julai. Walaupun begitu, saya masih menyokong kepemimpinan (Aminuddin) di negeri ini.

"Sebagai ahli dewan undangan negeri, saya tetap memberikan sokongan penuh kepada menteri besar. Dia adalah orang yang sangat saya hormati dan saya akan terus menyokong Pakatan Harapan.

"Saya telah menjadi pembangkang selama 40 tahun dan sekarang kita mempunyai kerajaan.

"Keputusan saya untuk mengundurkan diri bukanlah sesuatu yang bermula hari ini atau semalam. Ini berlaku sejak 2018. Saya diperlekeh dan digosipkan tetapi tidak menjadi isu bagi saya," tambahnya.

Pakatan Harapan memenangi pilihan raya 2018 dengan kemenangan tipis 20 kerusi berbanding 16 kerusi Barisan Nasional.

Difahamkan, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, akan segera mengeluarkan kenyataan sebagai respons behubung perkembangan ini.

Lihat Komen
ADS