Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dokumentari Al Jazeera berunsur hasutan, laporan tak tepat - IGP
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown terbitan agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang disiarkan baru-baru ini didapati mempunyai unsur hasutan, laporan tidak tepat serta mencetuskan kemarahan orang awam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata laporan dokumentari berkenaaan telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dengan ia lebih condong ke arah menggambarkan layanan buruk terhadap pendatang tanpa izin di negara ini.

“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kandungan dokumentari itu dan berpendapat ia mempunyai unsur-unsur hasutan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan juga Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

“Mereka yang terlibat dengan dokumentari itu telah dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan,” tambahnya.

Abdul Hamid berkata polis telah selesai memanggil enam kakitangan agensi berita berkenaan hari ini.

Beliau berkata enam daripada mereka telah hadir ke Bukit Aman manakala seorang lagi saksi iaitu individu yang bertanggungjawab memuat naik video berkenaan dijangka hadir esok untuk beri keterangan.

"Mereka datang sebagai saksi dan bukannya suspek, malah mereka akan jawab berdasarkan soalan yang ditanya polis.

“Selepas selesai soal siasat, kertas siasatan kes ini akan bawa ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya dan sekiranya terdapat bukti-bukti kukuh, pihak Peguam Negara akan beri keputusan sama ada akan mendakwa atau tidak," katanya.

“Jika terdapat dakwaan kakitangan Al Jazeera diugut serta nyawa mereka diancam, mereka boleh membuat laporan polis, dan keselamatan mereka termasuk mana-mana media dijamin sepenuhnya,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS