Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanah sedia kerjasama dengan siapa saja
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 7:20 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Tindakan Dr Mahathir Mohamad dan wakil rakyat Bersatu memilih untuk menjadi ahli parlimen bebas bersama Warisan tidak menghalang Amanah untuk terus bekerjasama dengan mereka.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, hari ini berkata parti itu bersedia bekerjasama demi menghadapi "kerajaan pintu belakang" yang menguasai Putrajaya sekarang.

Beliau merujuk kenyataan itu kepada Perikatan Nasional (PN).

Kata ahli parlimen Kota Raja itu lagi langkah bekerjasama dengan "MP Bersatu berprinsip" itu dibuat demi mempertahankan kepentingan rakyat.

“Susulan pengumuman enam MP Bersatu berprinsip diketuai Dr Mahathir Mohamad untuk bergerak sebagai blok bebas bersama Warisan dan kekal melawan PN, Amanah sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan pintu belakang PN demi kepentingan rakyat,” katanya di media sosial petang ini.

Terdahulu Mahathir bersama lima ahli parlimen lain menyatakan mereka akan kekal bersama Warisan - parti yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal - sebagai blok bekas.

Hal itu berlaku ketika Mahathir dan penyokongnya serta Warisan gagal mencapai persepakatan untuk menamakan calon perdana menteri pembangkang.

Utamakan perjuangan asal

Terdahulu mereka mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) - yang turut dianggotai Amanah - namun gagal mencari titik pertemuan mengenai hal berkenaan.

Isu calon perdana menteri membantutkan cubaan pembangkang merampas semula Putrajaya daripada PN selepas PH ditumbangkan melalui Langkah Sheraton.

Turut mengikut jejak langkah Mahathir hari ini ialah Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahatir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Gambar fail

Kecuali Shahruddin, keahlian lima yang lain dalam Bersatu telah ditamatkan.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka memaklumkan tidak akan bergabung dengan PH mahupun bersama PN.

“Kami membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

“Kami juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker (Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof) dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang menubuh kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

“Kami masih mengutamakan perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya kerajaan kleptokrasi,” kata mereka.

 


Lihat Komen
ADS