Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Loke sedih Adun Rahang keluar parti
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 9:22 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, hari ini meluahkan rasa sedihnya atas peletakan jawatan Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh sebagai ahli parti berkenaan dan memintanya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Loke yang merupakan ahli parlimen Seremban mengadakan sidang media bagi memberikan maklum balas terhadap tindakan Mary Josephine yang pagi tadi mengumumkan keluar parti, tetapi masih kekal menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Saya berasa amat sedih sebab dia ahli veteran dalam DAP. Dia masuk DAP sebelum saya lahir pun, sudah 46 tahun (lalu). Saya baru 43 tahun,” kata Loke.

“Maka juga saya sedih sebab beliau juga banyak membantu saya sejak saya jadi wakil rakyat dari 2004 hingga sekarang, termasuk beliau pernah jadi pembantu saya di pusat khidmat saya," katanya.

Tambah Loke, meskipun Mary Josephine menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesetengah keputusan yang dibuat oleh pemimpin DAP, tidak ada sebab untuk Adun terbabit keluar parti.

Mary Josephine berkata beliau berhasrat untuk terus kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong PH dan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Loke turut mengesahkan sebab Mary Josephine keluar parti adalah kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rasah.

Terima surat di ibu pejabat

Mengulas hal itu, kata Loke, parti mempunyai sistem dan prosedur semasa membuat keputusan dan apa sahaja ketetapan dibuat perlulah dihormati semua ahli.

Katanya, pelantikan pengerusi MPKK di kampung tersebut diputuskan melalui undian rahsia di peringkat jawatankuasa negeri yang mempunyai 18 ahli termasuk beliau sendiri.

“Akhirnya kita buat keputusan melalui undi rahsia, calon satu atau calon dua. Sebelas undi bersetuju untuk mengekalkan penyandang tersebut, tujuh undi menyokong calon yang dicadangkan Mary.

“Jadi saya sebagai pengerusi dah maklumkan bahawa mengambil semangat daripada keputusan majlis jawatankuasa negeri secara majoriti maka penyandang pengerusi MPKK itu (yang tidak dipersetujui Mary) akan dilantik,” katanya.

Mary Josephine

Tambah Loke, dia menerima surat peletakan jawatan Mary Josephine di ibu pejabat parti.

Ditanya apakah terkejut menerima surat tersebut, Loke berkata, sebagai ahli politik tiada apa-apa lagi yang dapat mengejutkannya, namun perlu tetap bersikap rasional dan tidak emosional.

“Dah tentu saya rasa dukacita beliau ambil keputusan tersebut. Saya sebentar tadi dah hantar satu surat kepada beliau untuk katakan bahawa segala keputusan jawtankuasa negeri perlu dipertahankan dan dihormati.

“Kita dipilih jadi wakil rakyat bukan atas kapsiti individu tetapi sebagai wakil parti.

“Jadi sesiapa wakil DAP yang dipilih melalui tiket DAP mesti ada tanggungjawb untuk berkhidmat kepada rakyat dan parti sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal kita,” katanya.

“Saya mohon beliau menarik balik surat letak jawatan daripada parti,” tambahnya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS