Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi DAP Johor minta akar umbi bantu Syed Saddiq di Muar
Diterbitkan:  Jul 11, 2020 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menggesa ahli parti itu membantu bekas ketua pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman kembali memenangi kerusi parlimen Muar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, meskipun mereka bukan daripada parti yang sama.

Liew berkata demikian dalam satu taklimat untuk ahli DAP di Bakri dan Muar hari ini.

“Saya turut memberitahu pemimpin akar umbi DAP di Bakri dan Muar, sekiranya berlaku PRU mengejut, dalam pada kita berjuang mempertahankan kerusi Bakri (parlimen) dan Bentayan (DUN), kita juga mesti lakukan segala yang kita mampu untuk memastikan sekutu paling rapat kita Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali menjadi ahli parlimen Muar,” katanya dalam satu kenyataan Facebook.

Liew berkata, beliau turut menyampaikan kepada ahli parti agar sedaya upaya “menewaskan Muhyiddin Yassin di Pagoh, tidak kira sesukar mana sekalipun hasrat itu kedengaran pada peringkat ini”.

Bakri, Muar dan Pagoh semuanya terletak dalam kawasan utara Johor. Bentayan ialah kerusi DUN di dalam Bakri. Kedua-duanya ditandingi DAP.

Bandar Muar terbahagi kepada dua kawasan parlimen, iaitu Bakri yang disandang Yeo Bee Yin dari DAP, dan Muar disandang Syed Saddiq. Pagoh, yang disandang Muhyiddin, terletak bersebelahan dengan bandar Muar.

Syed Saddiq merupakan salah seorang ahli Bersatu yang dipecat daripada Bersatu- termasuk Dr Mahathir Mohamad- kerana menentang kerajaan Muhyiddin.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada hujung Februari lalu apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH bagi membentuk Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada BN, PAS, GPS, PBS, Star dan sekumpulan ahli parlimen PKR.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Mahathir enggan mengetuai PN kerana tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Liew, dalam taklimat kepada akar umbi DAP itu, turut menekankan peri penting DAP mengambil pendekatan pelbagai kaum dan tidak hanya menumpukan kepada kubu pengundi Cina sahaja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS