Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat BN bincang isu PN, sidang parlimen esok

Mesyuarat di antara pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berlangsung sebentar tadi lebih membincangkan soal persiapan bagi persidangan Dewan Rakyat esok.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan bahawa anggota parlimen diberi pendedahan supaya bersatu dan hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“[...] cuma (perbincangan lebih) untuk Dewan Rakyat esok, macam kita kena bersatu dan semua ahli parlimen kena hadir dan sokong kerajaan PN,” katanya selepas mesyuarat tersebut.

Jelasnya lagi, speaker dan timbalan speaker juga diperkatakan akan berubah esok.

“Speaker dan timbalan (Speaker), Insya-Allah berubah esok,” katanya lagi.

Mesyuarat yang berlangsung di Menara Umno Kuala Lumpur turut dihadiri oleh beberapa anggota parlimen BN antaranya Najib Razak, Azalina Othman, Shahidan Kassim, Halimah Sadique dan ramai lagi.

Dilaporkan, selepas mesyuarat ini berakhir, kesemua wakil rakyat BN akan berhimpun di Putrajaya bagi mengadakan perjumpaan bersama semua anggota parlimen gabungan parti PN pula.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita selepas pertemuan antara ahli parlimen Perikatan Nasional di Putrajaya hari ini mengatakan mereka semua telah sepakat untuk menyokong semua usul yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di parlimen.

"Kita bersetuju untuk menyokong semua usul yang akan dibawa oleh perdana menteri. Di mana besok kita tahu bahawa ada satu keputusan besar yang akan dilakukan iaitu menggantikan speaker yang sedia ada dengan calon daripada pihak kerajaan.

"Jadi kami memberikan dokongan 100 peratus pada usul kerajaan itu," katanya.

Isu PN ada bincang tetapi ramai tak setuju

Selain perbincangan tentang persidangan parlimen esok, bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata bahawa mesyuarat itu juga ada menyentuh berkenan isu pendaftaran PN.

Bagaimanapun, tambahnya, perbincangan berkenaan perkara itu tidak terlalu mendalam lagi dan belum ada keputusan.

“Itu disentuh dan dimaklumkan oleh presiden tapi belum ada kata putus,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut menambah bahawa isu pendaftaran PN juga dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat ramai ahli yang masih tidak bersetuju akan penubuhan parti berkenaan.

“Masih dibincang (isu daftar PN) lagi tetapi nampaknya masih ramai tak bersetuju kerana simbol BN terkenal dan sudah biasa dengan BN.

Terdahulu, timbul spekulasi bahawa ahli MT Umno menolak menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Memetik sumber, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MT yang diadakan pada 6 Mei lalu, dan ia bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.

Lihat Komen
ADS