Empat kes denggi di Kelantan direkod meninggal dunia sepanjang tahun ini, malah sebanyak 2,226 kes dilaporkan sehingga semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, daripada keseluruhan kes itu berlaku peningkatan sebanyak 159 kes bagi tempoh sama berbanding tahun lalu.

Menurutnya, daerah Kota Bharu dan Bachok mencatatkan kes paling tinggi di negeri itu.

"Peningkatan kes denggi berkenaan disebabkan beberapa faktor termasuk kebersihan, cuaca dan migrasi.

"Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini juga, empat mangsa meninggal dunia kerana denggi.

"Justeru kita merasakan satu tindakan lebih agresif perlu diambil bagi menangani masalah denggi yang berkait rapat dengan kebersihan dan cara pengurusan sampah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas kawalan denggi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), di Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan itu Izani berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 1,264 kompaun dan 381 notis mengikut Seksyen 8 dikeluarkan terhadap mereka yang ingkar peraturan kawalan penyakit

"PBT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan mengadakan program gotong royong yang dikenali sebagai program Kelantanku Bersih secara berperingkat bagi menangani masalah berkenaan.

"Pada minggu lepas, program gotong royong itu sudah diadakan di Pasir Pekan dan minggu ini akan dilakukan di Pantai Cahaya Bulan (PCB),” katanya sambil mengingatkan orang ramai supaya menjaga persekitaran kawasan rumah bagi mengelak daripada dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Sementara itu ditanya mengenai kebenaran operasi pasar malam di negeri itu katanya, dianggap selesai selepas kerajaan membenarkan penjarakan dua meter itu dikecualikan di Kelantan.