Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Tiada isu peribadi dengan Dr M, pembangkang sepakat bantah singkir speaker

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata bahawa dia tidak mempunyai sebarang isu peribadi terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata demikian ketika ditanya apakah perselisihan antara beliau dan Mahathir menjadi halangan kepada pembangkang untuk bersatu dan sama ada mereka boleh berdamai atau tidak.

"Setakat yang saya tahu, saya melihatnya (dari segi) isu-isu dasar dan agenda reformasi.

"Sesiapa sahaja, termasuk Mahathir, jika kita boleh setuju, maka kita akan meneruskannya dan tidak ada masalah.

"Tidak ada isu peribadi di sini," kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pra-parlimen Pakatan Harapan yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam hari ini.

Kumpulan Mahathir dan Warisan tidak hadir dalam pertemuan itu, yang bermula sekitar jam 3.30 petang dan berlangsung sekitar satu jam.

Anwar mengatakan bahawa pertemuan itu adalah urusan PH dan pertemuan tidak rasmi telah diadakan dengan kumpulan Mahathir sebelum ini.

"Terdapat pertemuan yang mewakili kami, dalam sesi tidak rasmi dengan kumpulan Warisan dan Mahathir dan perkara-perkara ini dibincangkan, bahawa mereka akan bersama-sama menyokong pendirian pembangkang.

"Tetapi ini acara PH dan mereka bukan dalam PH, tetapi kita ada hubungan kerja yang baik (dengan mereka)," kata Anwar.

Bagaimanapun, sumber dalam kumpulan Mahathir mendakwa bahawa Anwar menjemput mereka melalui surat kepada Mukhriz tetapi mereka tidak hadir.

Mereka mengadakan pertemuan berasingan di Lembah Klang awal hari ini dan juga bertemu dengan DAP dan Amanah semalam yang tidak dihadiri PKR.

Walaupun tidak sefahaman, Anwar yakin bahawa blok PH, Warisan dan Mahathir akan bersatu dalam isu usul Dewan Rakyat untuk menyingkirkan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming.

Usul itu, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen esok, mencadangkan Mohamad Ariff dan Nga digantikan dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Anwar berkata bahawa kedua-dua blok telah memutuskan untuk menentang usul itu, tetapi beliau meminta ahli parlimen lain untuk turut serta dalam mempertahankan speaker dan timbalan speaker sekarang.

"Ini adalah masalah prinsip dan kedaulatan undang-undang, ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Komanwel dan juga sejarah negara kita sebelumnya.

"Pelantikan hanya dibuat apabila ada kekosongan atau spekaer mengundurkan diri.

“Dalam kes ini, prestasi Ariff terpuji dari segi reformasi. Sama sekali tidak ada asas untuk berusaha mengubah pertengahan jalan.

“Oleh itu, saya meminta ahli parlimen - selain dari PH - yang tegas dan pembangkang yang telah memberikan komitmen untuk berdiri teguh - untuk mempertimbangkan hal ini untuk melindungi kedaulatan parlimen dan juga kepentingan nasional untuk menyokong Speaker Ariff dan Timbalan Speaker Nga," katanya.

Usul untuk menggantikan speaker dan timbalan speaker dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Usul ini dilihat sebagai kayu ukur untuk menguji sokongan terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Berdasarkan susunan tempat duduk dalam persidangan parlimen satu hari pada18 Mei dan peralihan sokongan selepas itu, terdapat tiga blok utama di Parlimen - Perikatan Nasional (113 kerusi), Harapan (91 kerusi) dan lain-lain (18 kerusi).

Bagaimanapun, angka-angka ini bukanlah petunjuk pasti tahap sokongan Muhyiddin sehingga pengundian diadakan.

Walaupun ada usul berasingan bagi usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dan usul undi percaya terhadap Muhyiddin, usul-usul berkenaan dijangka tidak dibentangkan esok kerana ia berada di bahagian bawah Aturan Mesyuarat.

Usul tidak percaya dikemukakan oleh Mahathir sebelum persidangan Mei sementara usul percaya itu dikemukakan oleh PAS pada akhir bulan Jun.

Lihat Komen
ADS