Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa khas 14 agensi kekang penyeludupan dadah di sempadan

Masalah pengedaran dadah yang dikatakan bermula dengan kemasukan bahan terlarang itu melalui sempadan Thailand-Kelantan semakin membimbangkan sehingga menjadi salah satu lubuk penularan dadah ke negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah berkata, sebuah jawatankuasa khas membabitkan 14 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan bagi mengekang kemasukan dadah dari negara jiran.

"Kita tahu, lebih 90 peratus bekalan dadah di Malaysia adalah dari negara jiran. Walaupun pelbagai tindakan diambil di kawasan sempadan iaitu Operasi Wawasan dan Operasi Merpati, namun kemasukan bekalan dadah tetap berlaku.

"Malah, negeri dari Pantai Timur menyumbang kepada satu pertiga daripada penyalahgunaan dadah di negara ini dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi yang dikenal pasti penyalahgunaan dadah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan 'perbincangan Kota Bharu' iaitu mesyuarat penyelarasan membincangkan isu-Isu penyeludupan dadah negeri Pantai Timur, di Kota Bharu, hari ini.

Zulkifli berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan susulan 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara yang dijadikan model Projek Rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu.

Bagaimanapun menurut beliau, sepanjang enam bulan projek rintis itu berjalan, kemasukan dadah masih berlaku walaupun secara kecil-kecilan menyebabkan perkara itu perlu ditangani secara menyeluruh.

Zulkifli berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan dinilai selama enam bulan sehingga akhir tahun ini dan keberkesanannya boleh diketahui antaranya melalui kenaikan harga dadah di pasaran.

"Jika kita melihat harga sebiji pil kuda hanya RM10 sebiji, bermakna bekalan ini masih mudah diperoleh kerana harga masih murah. Sebaliknya jika harga semakin mahal sehingga RM50 sebiji, bermakna bekalan dadah semakin sukar diperoleh sekali gus menyaksikan jawatankuasa yang ditubuhkan berkesan.

"Selain itu kita juga akan menyantuni masyarakat yang tinggal di sempadan bagi memperolehi maklumat tambahan dan semestinya lebih tahu mengenai aktiviti penyeludupan.

"Justeru, kita berharap kesemua agensi memainkan peranan masing-masing kerana penyalahgunaan dadah di negara ini semakin meningkat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli mengakui berlaku peningkatan penyalahgunaan dadah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk penagih dadah berulang memandangkan tiada khidmat kaunseling diberikan kepada mereka.

Katanya, pelbagai kaedah dilakukan sepanjang tempoh itu termasuk pengedaran menerusi khidmat penghantar makanan dan perkhidmatan pos.

Lihat Komen
ADS