Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerusi DUN untuk PAS, parlimen untuk Umno - penganalisis

Di kala Umno dan Bersatu dilihat saling bertembung dalam isu pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, satu lagi parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS pula dilihat agak berdiam diri.

Sebenarnya menurut pandangan seorang penganalisis politik, melihat bagaimana isu kerusi diselesaikan di antara Umno-BN dengan PAS adalah lebih penting.

Kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung, berpendapat di antara kedua-dua pihak itu mungkin sudah berlaku dalam Muafakat Nasional meskipun belum secara terperinci.

“Mungkin ada negeri dah diserahkan kepada PAS manakala kerusi parlimen atau kerajaan persekutuan kepada Umno,” kata Lee ketika mengulas mengenai model yang mungkin digunakan oleh dua parti yang baru sekutu rapat itu.

Menurut beliau, memandangkan pengagihan kerusi pasti menuntut pengorbanan daripada kedua-dua pihak, Umno dan PAS mungkin akan “bermain” menggunakan aturan kawasan DUN dan parlimen dalam model agihan kerusi mereka.

Dalam kata lain, katanya, kedua-dua parti mungkin akan mencapai kompromi, dengan PAS mendapat kelebihan dalam agihan kerusi DUN manakala Umno pula mendapat kelebihan dalam agihan kerusi parlimen.

Buat masa kini, PAS memegang tampuk pemerintahan di tiga negeri iaitu Kedah - yang dirampas daripada Pakatan Harapan (PH) Mei lalu - selain Kelantan dan Terengganu.

Kata Lee, ura-ura kerjasama Umno dan PAS sudah wujud sebelum PRU ke-14 lagi, namun ia mendapat tentangan daripada parti komponen BN ketika itu, lebih-lebih lagi apabila PAS mengemukakan rang undang-undang Akta 355 (RUU355) di Dewan Rakyat.

Akar umbi diarah bergerak

Kerjasama yang tidak terealisasi pada PRU ke-14 lalu, kata Lee, nampaknya memberi gugatan buat PH semasa menuju PRU akan datang setelah Muafakat Nasional berjaya menunjukkan hasil dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

Lee berpandangan, soal agihan kerusi akan diutamakan di antara Umno-BN dan PAS terlebih dahulu. Hanya setelah toleransi dicapai di peringkat Muafakat Nasional, katanya, barulah ia akan dibawa untuk rundingan kompromi dengan Bersatu pula.

Namun, rundingan dengan Bersatu bukanlah mudah memandangkan ia akan turut melibatkan kerusi yang sebelum ini dimenangi melalui tiket Umno dan penyandangnya melompat keluar kemudian.

Ia termasuklah kerusi parlimen untuk Mersing, Larut, Masjid Tanah, Hulu Terengganu, Tanah Merah, Kudat, Bagan Serai dan lain-lain.

Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, PAS dilihat diam dalam soal agihan kerusi kerana tidak terlibat dalam konflik perebutan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno-BN dalam PRU ke-14 lalu tetapi kini bertukar milik kepada parti serpihannya, Bersatu.

“Mereka tak perlu terlibat dalam perang mulut Umno-Bersatu, itu adalah urusan pasangan yang baru rujuk selepas bercerai sebelum ini, bukan urusan mereka - sekurang-kurangnya buat masa ini,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Pun begitu, katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Umno dan PAS sudah pun bergerak ke arah proses agihan kerusi dengan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi pun sudah diarahkan untuk bergerak.

Tak boleh lupa rakan lain

Model terbaik untuk agihan kerusi, kata Mohd Yusri, adalah dengan mengekalkan status quo, iaitu Umno dan PAS masing-masing terus bertanding di kerusi yang dimenangi mereka, manakala di kerusi yang mereka kecundang pula ditentukan menerusi siapa yang mendapat undi paling banyak dalam PRU lalu.

Namun, katanya, kompromi tetap perlu berlaku di beberapa kawasan lain bagi memastikan setiap parti sekurang-kurangnya ada kerusi untuk ditandingi dalam sesuatu bahagian atau kawasan, sama ada untuk kerusi parlimen atau DUN.

Disoal apakah PAS akan berpuas hati untuk bertanding hanya di 18 kerusi parlimen yang dimilikinya kini, Mohd Yusri menolak perkara berkenaan.

“PAS akan minta untuk bertanding lebih lagi, khususnya kerusi-kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh PH,” katanya lagi.

Bagi pemerhati politik B Anbumani pula, PAS dilihat sebagai king maker dalam percaturan politik PN.

Meskipun berasakan PAS dan Umno sudah mempunyai pelan terancang dalam soal pembahagian kerusi, Anbumani berkata, Umno tidak boleh melupakan rakan-rakan lain dalam BN yang masih menjadi tulang belakang penting buat mereka.

Malah, katanya lagi, Umno dan PAS juga harus bertolak-ansur dengan Bersatu dalam soal agihan kerusi.

“Jangan terlalu ghairah dalam soal pembahagian kerusi ini sehingga ada kawan tertinggal ataupun ditinggalkan,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Anbumani berpandangan, PAS masih mempunyai kekuatan undi khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya nampak PAS sudah ada pelan tetapi mereka berhati-hati mengerakkan langkah mereka.

“Saya pasti PAS akan bertanding lebih banyak kerusi negeri pantai timur yang menjadi dominan mereka ketika ini iaitu di Kelantan, Terengganu, dan Kedah (di utara),” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS