Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: Kami sedang tunggu pemilihan Bersatu berakhir

Kumpulan bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah menyertai blok Bersatu berpendapat tidak praktikal untuk mereka menubuhkan parti baru buat masa ini.

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, berkata untuk menubuhkan parti baru masa yang panjang - sehingga tiga tahun - diperlukan.

"Dalam masa yang singkat ini saya rasa tidak praktikal untuk kita tubuhkan parti baru.

“Ini kerana (bagi saya) sekurang-kurangnya dan selewatnya-lewatnya makan masa tiga tahun. Itu masa yang tidak praktikal untuk tubuh parti baru untuk menghadapi PRU ke-15,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sebuah parti dikenali sebagai Parti Keadilan Negara sedang diusahakan penubuhannya oleh bekas pemimpin kanan PKR berkenaan.

Selain Zuraida, 10 ahli parlimen lain yang meninggalkan PKR ialah Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali; Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Baru bagaimanapun kini menyertai Parti Sarawak Bersatu.

Sebelum ini Azmin juga menafikan mahu menubuhkan parti yang baru.

Mengulas mengenai status mereka dalam Bersatu, Zuraida berkata mereka sedang menunggu pemilihan parti berkenaan berakhir sebelum memulakan proses menyertainya dibuat.

"Kita secara kumpulan belum (menyertai Bersatu) tapi tengah perhalusi kaedah yang kita akan sertai Bersatu.

"Kita tunggu pemilihan parti berakhir dan juga AGM (mesyuarat agung tahunan) mereka. Masih menunggu lagi," katanya.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan menambah mereka sedang memperhalusi langklah tersebut namun akan menyertai Bersatu akhirnya.

"Cuma kaedahnya tengah diperbincangkan," jelas beliau.

Di Dewan Rakyat, katanya, mereka diletakkan di blok Bersatu.

"Dalam Dewan Rakyat mereka meletakan kami dalam kelompok Bersatu, jadi itu kami terima," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS