Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah kata 'politik sekarang perlu banyak wang' pada 2016 - saksi

KES ROSMAH | Seorang rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd mendakwa Rosmah Mansor pada awal 2016 memberitahu bahawa "keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang".

Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 kes rasuah Rosmah berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Rayyan memberi keterangan berkenaan dakwaan perbincangan berkaitan "peratusan sumbangan" untuk Rosmah bagi membantu Jepak mendapat projek projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam keterangannya, beliau berkata Rosmah memberitahu perkara itu kepadanya dan pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dalam satu pertemuan selama sepuluh minit di rumah isteri bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur antara Januari dan Februari 2016.

"Saidi telah menawarkan sepuluh peratus daripada nilai projek solar hibrid sebagai sumbangan kepada Datin Seri Rosmah.

"Datin Seri Rosmah kemudian menjawab dengan mengatakan 'keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang' dan 'kita tengoklah nanti'," dakwanya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion dan dianugerahkan kepada Jepak melalui rundingan terus.

Saidi Abang Samsudin dan Rosmah Mansor

Ketika pemeriksaan balas dengan DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Rayyan berkata dia dan Saidi diperkenalkan kepada Rosmah oleh Rizal Mansor - pembantunya ketika itu - di kediaman Rosmah antara Januari dan Februari 2016.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Rayyan mendakwa Rizal membantu mengaturkan pertemuan dengan Rosmah, setelah Kementerian Pendidikan tidak memberi maklum balas kepada bidaan Jepak untuk projek itu.

Rayyan berkata beberapa hari sebelum pertemuan, dia dan Saidi bertemu Rizal di sebuah kafe di pusat membeli-belah di Kuala Lumpur dan ketika itu Rizal setuju untuk menyampaikan kepada Rosmah berhubung permintaan Saidi agar dia menyokong bidaan Jepak.

"Datuk Rizal menasihatkan agar menawarkan sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada nilai projek, tetapi dia minta mulakan tawaran dengan 10 peratus agar kami dapat runding dan henti di takat 15 peratus," dakwanya.

Rizal Mansor

Katanya, dia dan Saidi sekali lagi bertemu Rizal selepas pertemuan dengan Rosmah dan Rizal memberitahu Rosmah mahu sumbangan sebanyak 15 peratus, iaitu RM187.5 juta.

"Saidi berkata jumlah itu tinggi dan perlu dikurangkan sedikit kerana dia perlu jaga ramai orang."

Katanya lagi, Rizal kemudian berkata akan menyemak dahulu berkenaan perkara itu, dan pada masa sama turut meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi.

Saidi setuju dengan permintaan itu, katanya lagi.

"Keesokan harinya, Datuk Rizal hubungi saya dan mengatakan duit sumbangan sebanyak 15 peratus dari nilai projek adalah muktamad dan tidak boleh diubah," kata Rayyan lagi, sambil menambah Rizal memintanya menyampaikan perkara itu kepada Saidi.

Prosiding di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pagi esok.

Lihat Komen
ADS