mk-logo
Berita
Shafie: Hanya Dr M berjaya tumbangkan Umno, lain-lain gagal

WAWANCARA |  Selama beberapa dekad, ramai ahli politik, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, cuba untuk mengambil alih kekuasaan negara daripada Umno tetapi gagal mencapai cita-cita itu.

Bagaimanapun, ketika Dr Mahathir Mohamad memilih untuk keluar daripada persaraan dan memimpin Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, Umno dan BN buat pertama kalinya tumbang.

Pada wawancara media di Kuala Lumpur pagi ini, Presiden Warisan Shafie Apdal menekankan pentingnya peranan pemimpin dalam usia emas itu, terutama berkaitan dengan sokongan pengundi Melayu, supaya PH dan sekutunya dapat merebut kembali Putrajaya.

Ketua menteri Sabah itu menjelaskan inilah alasan kenapa beliau menyokong Mahathir untuk dinobatkan sebagai calon perdana menteri PH Plus.

"Kerana di pihak lain, kamu mempunyai sekumpulan orang yang terlalu berteraskan Melayu. Kamu bercakap mengenai Umno, PAS dan Bersatu, sementara di pihak kami, kami semua berbilang kaum.

"Jadi, kamu tidak dapat sokongan orang Melayu (ketika berhadapan parti-parti yang berteraskan Melayu)," katanya.

Shafie berkata, walaupun Malaysia sebuah negara berbilang kaum, di negeri-negeri tertentu orang Melayu adalah majoriti seperti di Perlis, Kedah, Kelantan dan Pahang.

Menurutnya, pembangkang mengambil perhatian mengenai hal ini apabila menyusun rancangan untuk merebut kembali kerajaan persekutuan.

Shafee berkata pengaruh Mahathir telah mengubah keseimbangan kuasa daripada Umno kepada Bersatu (yang telah keluar PH) di kerusi marginal semasa pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018.

"Kami telah melalui sejarah... Ketika Semangat 46 berusaha menjatuhkan Umno dan Mahathir (yang merupakan presiden dan perdana menteri Umno ketika itu), lebih separuh anggota kabinet mengundurkan diri pada masa itu.

"Tengku Razaleigh (Hamzah), Musa Hitam, Abdullah (Ahmad) Badawi, Rais Yatim ... Kamu namakan. Ini semua pemain besar dalam politik ketika itu.

"(Tetapi) mereka tidak dapat menjatuhkan Mahathir ketika itu. Dan pusingan kedua adalah Anwar, dengan gerakan (reformasi) yang dibawa oleh PKR. Umno masih ada lagi.

"Tetapi ketika Mahathir bergerak, pada pilihan raya yang lalu, kamu dapat membayangkan beberapa kerusi marginal, kawasan Melayu seperti Kedah, Umno kalah negeri itu kepada Bersatu. Mereka juga terlepas Johor kepada Bersatu. Banyak negeri kalah kepada Bersatu.

"Adakah kerana Anwar, adakah itu kerana Musa Hitam atau Tengku Razaleigh? Itu kerana Mahathir.

"Itulah sebabnya. Kamu melihat alasan yang saya kemukakan. (Ini) bukan kerana saya taat kepada Mahathir.

"Tetapi bagaimana kamu dapat menang pilihan raya berikutnya dan mendapatkan jumlah (sokongan MP) daripada Bersatu, PKR atau dalam hal ini, daripada pihak Umno sekiranya kamu meletakkan Anwar (sebagai calon perdana menteri)," soalnya.

Hanya enam bulan

Pada kenyataan yang sama, presiden Warisan mengatakan bahawa beliau tidak menentang Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan selepas enam bulan Mahathir mentadbir sebagai perdana menteri seperti yang dicadangkan sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau menekankan pembangkang mesti memanfaatkan pengaruh Mahathir untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan terlebih dahulu.

Selanjutnya, Shafie berkata jika Mahathir dan Anwar berganding bahu, pasangan pemimpin itu akan memberikan alternatif politik yang kuat untuk PN, yang turut disertai Umno dan PAS.

"Untuk jangka masa yang singkat. Enam bulan. Itulah yang telah kami bincangkan. Bukan bermaksud kami menolak Anwar sepenuhnya.

"Kerana kamu boleh bayangkan, jika kedua-duanya bergandingan bahu dan pergi menemui akar umbi. Bukan hanya penyokong Anwar, penyokong Mahathir juga. Sekiranya beliau (Anwar) menerima dalam jangka masa pendek Mahathir menjadi (PM) ... ," katanya lagi.

Ketika ditanya sekiranya beliau menganggap Anwar sebagai batu halangan kepada PH dan sekutunya untuk melancarkan tindak balas terhadap PN, Shafie tidak menjawabnya tetapi berkata perselisihan mengenai calon perdana menteri telah mengalihkan perhatian mereka.

Sementara itu, katanya, PH telah kehilangan satu demi satu negeri yang dikuasainya dan juga ahli parlimennya kepada PN.

"Kami mesti fokus, kami tidak boleh hanya bergaduh mengenai siapa yang bakal menjadi calon (PM). Saya tidak mahu membuang masa, namakan calon apabila sampai waktu pilihan raya nanti.

"Ia (pilihan raya itu) lebih penting. Rakyat tidak peduli siapa yang akan menjadi (PM). Tetapi kami harus memberitahu rakyat - 'ke mana kamu akan membawa kami', dan 'di mana jalan untuk negara ini mengorak langkah maju ke hadapan'.

"Ini penting bagi kami untuk memenangi hati mereka," tambahnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS