AUDIT l Kurang koordinasi antara jabatan dan agensi dalam penguatkuasaan dari segi perkongsian maklumat dan kekurangan aset menyebabkan aktiviti operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia (ZMM) tidak mencapai tahap kecekapan yang optimum.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 menyatakan selain aset yang rosak, faktor kawasan ZMM yang luas turut menyukarkan aktiviti kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Ini mengakibatkan masih berlaku penyeludupan barangan, pencerobohan dan penyeludupan pendatang tanpa izin dan pencerobohan nelayan di ZMM, “ menurut laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan kerosakan 34.6 peratus daripada kapal dan bot menjejaskan kecekapan dan keberkesanan operasi di ZMM, dan 11.7 peratus aset kapal atau bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia ( PPM PDRM), dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) rosak dan tidak dibuat penyelenggaraan kerana kekurangan peruntukan.

Seterusnya, laporan itu menyatakan tiada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di perairan pantai timur di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan pantai timur Sabah bagi mengawasi sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan di zon berkenaan.

Selain itu, menurut laporan itu, maklumat daripada sistem pengawasan digunakan secara individu oleh APMM, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan DOF dan tiada satu pengumpulan dan penyelarasan maklumat secara berpusat untuk mengkoordinasikan operasi penguatkuasaan antara jabatan dan agensi.

Sementara itu, laporan itu turut mendedahkan sebanyak 89 kali kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara dari 2016 hingga 2019 dan kehadiran mereka dikenal pasti berhubung tuntutan Laut China Selatan khususnya kawasan Beting Patinggi Ali (BPA).

“Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019,” kata laporan itu.

Justeru, laporan itu berpendapat isu pencerobohan China khususnya BPA merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan ZMM.

"Sungguhpun TLDM dapat menunjukkan keberadaannya bagi melindungi kedaulatan di perairan BPA tetapi peranannya bukan sebagai agensi yang melaksanakan penguatkuasaan.

Sewajarnya APMM berada di BPA setiap masa bagi melaksanakan penguatkuasaan dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Malaysia sekiranya terdapat sebarangan tuntutan oleh China di peringkat antarabangsa,” cadang laporan itu.

- Bernama