Guru maut terjatuh dari bangunan semasa buat persediaan sekolah
Seorang guru lelaki berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Gajah dekat Tanah Merah, Kelantan ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar esok.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari semasa guru yang sedang memijak kerusi plastik itu tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh dari balkoni.
Guru terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.
Zainuddin berkata siasatan awal mendapati guru yang hampir 17 tahun mengajar matematik di sekolah berkenaan terjatuh pada ketinggian tiga meter.
"Ketika kejadian, terdapat dua guru lain yang hanya mampu melihat kejadian tetapi tidak sempat memberi pertolongan kerana kejadian berlaku dengan pantas," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah.
Zainuddin berkata lelaki itu meninggalkan seorang balu yang juga seorang guru di sebuah sekolah lain di Tanah Merah. Pasangan terbabit memiliki lima orang anak.
- Bernama

