Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerun lihat ganasnya politik, Mokhtar cadang nak 'berkayuh di tepian' saja
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 9:51 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Ulama kanan PAS yang sebelum ini garang membela PAS dan Perikatan Nasional hari ini berkata, beliau berasa gerun melihat suasana politik yang dianggapnya semakin "ganas".

Menggunakan analogi lautan, Mokhtar Senik juga berkata, berlaku permusuhan secara tiba-tiba dan tanpa sebab, manakala kebencian sukar dikawan sehingga membakar semangat persaudaraan.

"Entah mengapa hati saya semakin gerun melihat lautan luas politik. Ombaknya semakin ganas. Gelombangnya bergulung-gulung. Permusuhan berlaku tiba-tiba tanpa punca dan sebab.

"Kebencian meluap-luap tanpa dapat dikawal (hingga) membakar setiap ranting ukhuwah. Abu yang sudah menjadi debu itu diinjak-injak penuh dendam," tulisnya dalam salah satu hantaran di media sosial hari ini.

Tidak dapat dipastikan apakah 'gelora' yang dimaksudkan anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu dengan hantaran tersebut. Bagaimanapun ia mungkin memberi bayangan bahawa berlaku sedikit sebanyak pergolakan dalaman sama ada membabitkan parti di peringkat nasional atau lebih bawah.

Untuk rekod Mokhar yang turut menjadi salah seorang ahli Jawatankuasa Ulama PAS itu baru-baru ini berdepan dengan masalah yang membabitkan telefon bimbitnya.

Beliau juga beberapa kali memuat naik hantaran mengenai amaran berkaitan manipulasi digital bagi meniru identiti, suara atau imej seseorang pengguna media sosial.

Melihatkan ganasnya politik sekarang, Mokhtar kelihatan mengambil pendekatan mengelak daripada terbabit.

Zikir, selawat dan telaah kitab

Katanya beliau hanya mahu "berkayuh di tepian pantai" sambil memimpin tangan anak-anak untuk mengenal Allah dan Rasulullah serta dunia melalui jendela agama.

"Ya... bergelut dalam gelanggang dunia ini sangat memenatkan. Kerana peraturan pertarungan boleh berubah bila-bila masa.

"Hanya orang yang Allah berikan kekuatan dan keikhlasan mampu berpencak di dalamnya dan berjaya. Yang ramainya ialah insan-insan yabng kecundang.

"Ngeri hati menyaksikannya. Hari ini aku teman kerana (kamu) inginkan sokongan dan pertolonganku. Esok aku musuhmu kerana engkau bimbang aku mengambil apa-apa dari milikmu," katanya.


Baca 'Nombor telefon saya disalah guna'


Beliau yang sebelum ini pernah dicalonkan PAS untuk merebut kerusi parlimen Padang Besar berkata, mencari kejujuran pada waktu ini sama seperti mencari sekuntum bunga mekar di padang pasir yang gersang.

Justeru kata Mokhtar beliau kini faham mengada ada sesetengah orang yang berilmu memilih untuk hidup terasing daripada orang ramai dan hidup dengan serba sederhana dan pada masa sama tidak melupakan tuhan.

"Pernah juga saya terfikir untuk membuka peluang kepada siapa sahaja dalam kalangan anak-anak remaja dan pemuda, marilah kita berkampung di sini. Semuanya percuma.

"Kita sama-sama makan apa yang ada. Jika tiada, kita sama-sama berpuasa. Kita habiskan masa dengan ibadah, zikir, selawat dan mentalaah kitab-kitab thuras yang ditinggalkan ulamak silam," katanya.

 

Lihat Komen
ADS