Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP gesa k'jaan siasat bank China didakwa terlibat pengubahan wang haram
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

DAP menggesa pihak berkuasa menyiasat Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) berhubung tuduhan pengubahan wang haram melalui entiti Kuwait, yang melibatkan aset 1MDB.

Merujuk kepada beberapa laporan oleh Sarawak Report, setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata pihak berkuasa yang berkenaan, terutama Kementerian Kewangan dan Bank Negara, mesti meneliti perkara itu kerana telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada pembayar cukai di Malaysia.

"Sekiranya didapati bersalah, ICBC harus dikenakan hukuman yang sewajarnya untuk memastikan bahawa tidak ada bank lain yang akan memudahkan pencucian dana yang disalahgunakan oleh kerajaan yang korup," katanya.

Sejak Mei, Sarawak Report menerbitkan beberapa siri laporan yang menyatakan bahawa bukti yang mereka terima menunjukkan bahawa kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah meningkat.

Laporan tersebut mendakwa bahawa lebihan wang tunai yang dipinjam daripada bank-bank China digunakan untuk membayar hutang 1MDB pada tahun 2016.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini secara bebas dan telah meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan.

Menurut Pua, pentadbiran Pakatan Harapan mengetahui bahawa 1MDB telah menjual tanah seluas 234 ekar di Air Hitam, Pulau Pinang kepada Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd, sebuah syarikat di Kepulauan Cayman dengan harga CNY4.25 bilion (RM2.7 bilion ).

Syarikat ini didakwa dikendalikan oleh individu berpengaruh di Kuwait.

Apa yang mencurigakan, kata Pua, yang merupakan bekas pegawai di Kementerian Kewangan, Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd membayar kementerian untuk tanah tersebut, tetapi tidak pernah menuntut hak tersebut.

Berdasarkan artikel Sarawak Report, wang berkenan, yang dalam proses melalui cawangan ICBC di Kuwait, akhirnya digunakan untuk membayar International Petroleum Investment Co dan penghutang 1MDB yang lain.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, Pua berkata pentadbiran sebelum ini tidak mempunyai bukti untuk memulakan tindakan. 

Bagaimanapun, pendedahan Sarawak Report mengenai hubungankait dengan Kuwait telah membantu menghubungkan titik-titik yang hilang.

Lihat Komen
ADS