Jumlah kes baru penularan Covid-19 kembali kepada dua angka hari ini setelah sekian lama berada pada satu angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapannya di Tweeter berkata, 18 kes baru dicatkan hari ini dengan 10 kes dilaporkan di Sarawak, empat di Selangor, dua di Terengganu dan masing-masing satu kes di Sabah dan Kuala Lumpur.

Daripada 18 kes baru yang dicatatkan setakat 12 tengah hari tadi, 10 adalah kes import yang membabitkan tujuh warga negara Malaysia dan tiga warga asing.

Bagi kes penularan tempatan pula, ia membabit enam warga Malaysia dan dua warga asing.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia kini sebanyak 8,755 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 92 kes.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat tiga kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,541 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, masih terdapat tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tanpa sebarang yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa pihaknya juga berjaya mengesan empat kluster baru jangkitan Covid-19 hari ini.

Kluster berkenaan dinamakan:

  • Kluster PUI Pitakwa
  • Kluster PUI Shirala
  • Kluster Pusat Perubatan Kuching
  • Kluster Jupiter