Covid-19: 9 kes baru, kes aktif kini 96
Kementerian Kesihatan (KMM) memaklumkan terdapat sembilan kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 8,764 kes.
Jumlah pesakit sembuh hari ini pula adalah lima orang, menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 8,564, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dengan pertambahan kes baru hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 96 kes, katanya.
"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya lagi, sambil memaklumkan hanya seorang pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada sembilan kes baru, empat daripadanya adalah jangkitan luar negara, melibatkan seorang bukan warga.
Bagi lima kes penularan tempatan, empat daripadanya adalah warga tempatan, iaitu:
- Satu kes saringan kontak rapat dalam Kluster Mambong.
- Satu kes saringan praprosedur di Hospital Bau, Kuching.
- Dua kes kluster Stutong.
Noor Hisham memaklumkan tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 122 orang, iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Kluster Stutong
Noor Hisham memaklumkan satu kluster baru dikesan di sebuah pasar di Stutong, Sarawak susulan ujian saringan yang dibuat terhadap penjaja di situ yang dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran saringan.
"Setakat 12 tengah hari ini, seramai 218 penjaja telah disaring, terdiri daripada 213 warga dan lima bukan warga. Daripada saringan ini, 56 orang telah disampel."
Katanya lagi, keputusan persampelan mendapati 54 orang negatif dan dua positif (seperti dinyatakan di atas).
"Pasar ini ditutup buat sementara waktu bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman. Punca jangkitan kluster adalah
masih di dalam siasatan," katanya lagi.
Sementara itu, Noor Hisham berkata kesemua 96 orang yang dibawa pulang dari New Delhi hari ini dalam keadaan sihat dan tidak bergejala, selepas saringan kesihatan di KLIA.
"Mereka ditempatkan dalam pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Enstek, Nilai selama 14 hari.
"Kuarantin mandatori dikenakan dan bukan di rumah selepas mengambil kira mereka kembali dari negara berisiko tinggi jangkitan Covid-19," katanya lagi.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

