Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Sabah sedia serah kerusi jika Bersatu boleh buktikan keupayaan
Diterbitkan:  Jul 19, 2020 10:35 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Bersatu perlu membuktikan keupayaan untuk menang di Sabah jika mahu bertanding di kerusi tradisi Umno, kata Pengerusi Umno Negeri, Bung Moktar Radin.

Jelasnya, Umno Sabah tiada masalah untuk menyerahkan kerusi tradisi mereka jika Bersatu dapat menjamin kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita akan berbincang dulu cuma mesti meletakkan prinsip asas. Kalau parti itu hendak kerusi, biarlah berfakta… apa asas parti itu hendak bertanding.

“Sekurang- kurangnya parti itu boleh dapat 30 peratus atau 40 peratus baru kita (Umno Sabah) boleh putuskan bagaimana parti lain (boleh) bertanding,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, kata Bung Moktar, pada masa ini hakikatnya Umno Sabah adalah parti yang paling berpengaruh dan mempunyai jentera serta akar umbi yang kuat di negeri itu.

Bung Moktar sebelum ini menyatakan pendirian Umno Sabah mahu bertanding di semua kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Di sinilah kita melihat sama ada Umno Sabah masih laku dan relevan bagi rakyat Sabah,” tulisnya di Twitter baru-baru ini.

Bung membuat penegasan itu selepas Ahli Parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mendakwa "Umno sudah tidak laku di Sabah".

Untuk rekod Abdul Latiff adalah antara wakil rakyat Umno yang keluar parti dan diterima menyertai Bersatu pada tahun lalu.

Susulan kecaman yang diterimanya daripada pemimpin Umno, Abdul Latiff memohon maaf beberapa hari kemudian.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditanya mengenai akar umbi Bersatu di Sabah yang terkilan dan kecewa dengan pendiriannya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, keputusan Umno Sabah bukan emosi melulu.

“Kalau nak ikutkan terkilan, Umno Sabah lagi terkilan tetapi kita (lihat) ke depan… dalam politik memang begitulah.

“Kita nak kemenangan, tidak ada kena mengena dengan isu-isu lain, itu cuma kebetulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Bung Moktar menjelaskan Umno Sabah tidak melihat Bersatu di negeri itu lemah dan kerana itu pihaknya mahu menentukan segala-galanya.

Katanya, Umno Sabah tidak menolak bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersama PN asalkan boleh menjamin kemenangan gabungan itu dalam PRU15.

“Mereka (Bersatu Sabah) kena faham, kalau merayakan semangat PN saja tapi kalah (pilihan raya), itu bukan satu jalan terbaik untuk bantu memperkukuhkan dan wujudkan kerajaan .

“Kita kalau bertanding hendak menang, tapi kalau cuma nak penuhkan kuota tak ada kemenangan, buat apa bertanding… tak payah bertanding sudah tetap kalah,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS