Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung Moktar beri gambaran gabungan 'BN Sabah plus plus'

Walaupun BN Sabah hanya mempunyai satu kerusi parlimen dan satu kerusi dewan undangan negeri (DUN), mereka dilihat masih mempunyai kuasa besar dalam menentukan agihan kerusi.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ketika dihubungi hari ini menegaskan bahawa kedudukan awal partinya dalam rundingan itu adalah mereka diberi hak untuk meletakkan calon untuk setiap kerusi yang mereka menangi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ini mungkin akan menimbulkan masalah dalam hubungan Umno dan Bersatu di Sabah, kerana keenam-enam parlimen dan tujuh kerusi DUN Bersatu di Sabah merupakan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno sebelum ini.

Pada PRU14, Umno Sabah meletakkan 15 calon parlimen dan memenangi tujuh kerusi dan 32 calon DUN dengan kemenangan 17 kerusi. Bersatu pula, yang merupakan anggota gabungan Pakatan Harapan (PH), tidak meletakkan calon di negeri itu.

Untuk rekod, selain Bung Moktar selaku ahli parlimen Umno, seorang lagi pemimpin yang bertahan dalam parti itu adalah anggota dewan undangan negeri (Adun) Sungai Sibuga, Musa Aman.

Bung Moktar  juga membayangkan gabungan baru di Sabah yang disebut sebagai "BN Sabah plus plus" sebagai dasar rundingan kerusi untuk memastikan kemenangan sepenuhnya buat PN di negeri itu.

Katanya, mana-mana pihak yang membuat tuntutan kerusi yang dimenangi oleh Umno Sabah pada tahun 2018 perlu membuktikan pencalonan mereka akan membawa kemenangan buat PN.

"Kami ingin lihat, senarai nama mereka dan (bukti) kekuatan di kawasan itu ... (kami ingin tahu jika) mereka mempunyai penyokong di sana.

"Dalam pilihan raya, anda mesti menang. Ini bukan masalah 'berapa banyak kerusi yang anda mahukan'. Walaupun anda meletakkan banyak calon dan hanya memenangi satu, apa gunanya?" soalnya.

Bung Moktar menyatakan pihaknya mempunyai kaedah tersendiri untuk mengukur peluang kemenangan dan itu akan melibatkan 'data besar' (big data) serta tidak melibatkan firma undian bebas.

Tidak seperti di Semenanjung jelasnya, Umno Sabah belum secara rasmi melibatkan parti gabungan tempatan lain tetapi memberi jaminan bahawa ia akan berlaku tidak lama lagi.

Walaupun tidak melibatkan perbincangan bersama, mungkin disebabkan menjaga kerahsiaan, beliau mengisyaratkan bahawa akan mengadakan perbincangan paling lambat pada Ogos atau September nanti.

Bung Moktar berkata, Umno atau BN Sabah diberi kuasa autonomi untuk memutuskan perkara yang berkaitan dengan pilihan raya umum, termasuk pembahagian kerusi.

Beliau turut menyatakan PAS mungkin tidak akan bertanding di Sabah, tetapi BN juga akan melibatkan mereka (PAS) dalam perbincangan mengenai pilihan raya.

Lihat Komen
ADS