Seorang pemungut buah sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kulim hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sebilah senjata berbahaya, selaras senapang patah tanpa lesen dan selaras senapang patah buatan sendiri pada awal bulan ini.

Shahzairos Ramli, 49, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Musyiri Peet.

Dia dituduh memiliki sebilah pisau sepanjang kira-kira 19cm di Jalan Kampung Padang Cina, Kulim pada 5.30 petang, 6 Julai lepas.

Shahzairos didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki selaras senapang patah tanpa lesen dan selaras senapang patah buatan sendiri di Lot 35A Kampung Padang Cina sini pada masa dan tarikh sama.

Untuk pertuduhan itu Shahzairos didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kulim, Shahzairos turut menghadapi tiga pertuduhan memiliki tanpa lesen 15 butir peluru hidup dan 16 kelongsong peluru pada tarikh dan tempat sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kulim, Balkhis Abdul Halim.

Bagi tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a), Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Bagi kes di mahkamah sesyen, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra manakala di mahkamah majistret Inspektor P Vickneswaran bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan K Kirenram.

- Bernama