Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerusi parlimen Sabah, Sarawak: Abang Johari akan umum
Diterbitkan:  Jul 19, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Keputusan berkenaan tuntutan agar Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga peruntukan kerusi Parlimen daripada kerajaan persekutuan dijangka diumumkan bulan September ini.

Menurut Anggota Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan itu akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg.

“Kerajaan negeri sudah berbincang dengan kerajaan pusat dan keputusan hanya akan diumumkan oleh ketua menteri (Abang Johari) September ini.

“Butirannya saya sudah tahu, tapi saya tidak boleh mendedahkannya sehinggalah perdana menteri dan ketua menteri sendiri melakukannya,” kata beliau seperti dipetik Astro Awani.

Kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, tuntutan itu boleh dicapai dengan memperbanyak lagi pecahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.

“Ini bagi memperbanyakkan lagi keahlian kita (Sarawak) di Dewan Rakyat seperti kerusi asalnya pada tahun 1963 dahulu,” dia dipetik sebagai berkata.

Pada masa ini, Sarawak memiliki 31 kerusi parlimen sementara Sabah 25 kerusi parlimen - menjadikannya 56 kerusi parlimen - kurang 18 kerusi untuk membentuk satu pertiga.

Angka itu bagaimanapun tidak termasuk kerusi Parlimen Labuan.

Semenanjung pula menguasai 166 kerusi parlimen secara keseluruhan.

Warisan juga pernah bangkitkan

Sebelum ini, Abang Johari menuntut agar Sarawak dan Sabah diberikan satu pertiga daripada kerusi di Parlimen bagi mengembalikan semula kedudukan dua negeri berkenaan di Dewan Rakyat setelah Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965. 

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menyuarakan kebimbanganya bahawa dalam kedudukan sekarang, sebarang pindaan perlembagaan hanya akan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Beliau pada Februari lalu turut membuat permintaan serupa, agar bilangan kerusi Sabah dan Sarawak ditambah melalui reformasi pilihan raya yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Abdul Rashid Abdul Rahman.

Timbalan presiden Warisan, Darell Leiking sebelum ini juga membuat gesaan serupa.

Semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Semenanjung Malaysia menguasai dua pertiga kerusi parlimen sementara satu pertiga lagi dikuasai Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada masa itu, Semenanjung menguasai 104 kerusi parlimen sementara Singapura 15 kerusi, Sabah 16 kerusi dan Sarawak 24 kerusi.

Bagaimanapun apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, sebanyak 15 kerusi parlimen tidak diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS