Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Muhyiddin ketika dalam PH tiada hasrat mahu siasat semula kes Teoh'

Menteri dalam negeri ketika era pentadbiran PH, Muhyiddin Yassin tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyiasat semula kematian pembantu politik Teoh Beng Hock walaupun terdapat keputusan oleh kabinet, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim selanjutnya berkata beliau telah melakukan tindakan susulan berhubung kes tersebut dengan Muhyiddin ketika PH menjadi kerajaan tetapi akhirnya tidak membuahkan hasil.

Beliau berkata sekarang beliau tahu alasan di sebalik perkara itu selepas Langkah Sheraton, apabila Muhyiddin berpaling tadah dengan membawa Bersatu keluar dari PH dan akhirnya menjadi perdana menteri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional.

"Walaupun ini keputusan kabinet (PH), hal itu menjadi tanggung jawab Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakannya. Pada masa itu, beliau (Muhyiddin) sangat ramah dengan kami dan mengajak saya ke rumahnya beberapa kali untuk bersarapan pagi.

"Semasa sarapan, saya memaklumkannya mengenai kes itu. Sehinggalah sekarang, kami dapat tahu kenapa (kes itu) tiada perkembangan lanjut. Ada komplot besar di sebaliknya,” kata Lim dalam ucapannya pada majlis ulang tahun ke-11 memperingati Teoh di Semenyih.

Lim juga berkata Muhyiddin mencapai kedudukannya sekarang dengan mengkhianati rakan-rakannya.

Walaupun DAP tidak lagi berkuasa, Lim memberi jaminan parti itu tidak akan pernah berputus asa berjuang untuk Teoh.

Teoh, ketika itu pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan DAP, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati setelah jatuh dari tingkat sembilan di bangunan ibu pejabat SPRM di Shah Alam.

Pada 16 Julai 2009, Teoh ditahan semalaman untuk disoal siasat mengenai kes bosnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan pada tahun 2014, bahawa dia meninggal dunia akibat jatuh yang mungkin dipercepat oleh tindakan tidak sah orang yang tidak diketahui, termasuk oleh pegawai SPRM.

Mahkamah juga memerintahkan polis untuk menyiasat kematian tersebut. Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara tidak menemui unsur jenayah dalam kematiannya.

PH telah berjanji untuk menyiasat semula kes Teoh apabila berjaya menguasai Putrajaya pada 2018.

Bagaimanapun, polis menerima banyak kritikan apabila menyiasat kes itu tahun lalu di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan mengurung.

AG diminta maklum perkembangan kes

Peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili keluarga Teoh, berkata beliau akan menulis surat kepada Peguam Negara Idrus Harun dalam masa dua minggu untuk meminta perkembangan kes itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP itu berkata polis telah menubuhkan pasukan petugas khas pada Jun 2019 untuk membuka semula kes itu dan telah merakam kenyataan sekitar 10 orang termasuk adik perempuan Teoh, Lee Lan.

Oleh itu, Ram Karpal percaya Peguam Negara sekarang sepatutnya telah mempunyai hasil siasatan selepas setahun siasatan dijalankan.

"Matlamat kami sekarang adalah untuk memastikan beliau membuat keputusan yang tepat dari segi siapa yang akan dikenakan pertuduhan dan di bawah peruntukan undang-undang apa. Ia tidak boleh di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” kata Ram pada sidang media selepas majlis peringatan.

Penantian 11 tahun

Semasa upacara peringatan, Lee Lan turut mengingatkan DAP untuk belajar dari pengalaman lalu ketika menjadi kerajaan dan jika kembali berkuasa DAP perlu segera mendapatkan keadilan untuk abangnya.

"Sekiranya anda kembali berkuasa, jangan lupa keluarga Teoh yang telah menanti selama 11 tahun," katanya.

Tahun lalu, ketika ulang tahun ke-10 majlis memperingati Teoh, adik perempuannya itu menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan PH, menggesa supaya mereka berhenti bercakap dan bertindak segera.

Lebih seratus orang hadir majlis peringatan hari ini di Nirvana Memerorial Park di Semenyih, termasuk ibu bapa, isteri, dan anak lelaki Teoh yang berusia sepuluh tahun.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS