Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pemandu e-hailing dipenjara 3 tahun kerana rompak, bogelkan pasangan kekasih

Seorang bekas pemandu e-hailing yang merompak dan membogelkan sepasang kekasih hanya kerana hutang RM80, dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Fikri Edli Mohd Nordin, 34, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan merompak pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 11 Feb lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Nor Fikri Edli didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas, telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang peniaga burger, 26, dan kekasihnya berusia 25 tahun dengan mengambil empat telefon bimbit pelbagai jenama, kad pengenalan diri, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai RM300 dan sebuah motosikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4 pagi, 30 Jan lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh bersama dua rakannya telah mengajak kedua-dua mangsa untuk berbincang mengenai hutang sebanyak RM80 dan tertuduh mendesak agar lelaki itu melunaskan hutang berkenaan sebelum memukul mangsa serta teman wanitanya.

Tertuduh juga merampas barangan peribadi kedua-dua mangsa sebelum mereka dibawa ke sebuah hotel.

Di hotel berkenaan, mereka dipukul sekali lagi dan dibogelkan serta aksi itu turut dirakam sambil tertuduh mengugut untuk menyebarkan video (bogel) tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukum setimpal berbentuk pengajaran berikutan kedua-dua mangsa mengalami trauma kerana telah dibogelkan selain kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Peguam N. Zenathnara yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum kerana anak guamnya mempunyai penyakit sawan serta menanggung empat anak dan seorang ibu berusia 66 tahun.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahyon turut menasihatkan tertuduh supaya insaf dan mempelajari kemahiran semasa berada di penjara agar tidak terlibat dengan kesalahan jenayah apabila dibebaskan kelak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS