Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar: Lihat pelantikan Nasrudin sebagai restu dari pimpinan
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Bekas ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik, hari ini mengingatkan sesetengah anggota parti itu supaya melihat pelantikan Nasrudin Hassan sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai tindakan yang mendapat restu pimpinan.

Justeru beliau yang juga anggota Dewan UIama Pusat PAS menyeru semua anggota parti itu agar berwaspada semasa mengkritik pimpinan dan jemaah.

Katanya, pelbagai "kata nista" dan kecaman ditujukan kepada Nasrudin.

"Dua tiga hari ini saya lihat serangan musuh kepada Ustaz Nasrudin yang baru dilantik sebagai YDP Yadim. Berbagai-bagai kata nista dan perlekehan terhadap beliau," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Mokhtar pada peringkat awal beliau tidak bimbang melihat serangan ke atas bekas ketua Pemuda PAS berkenaan kerana ia datang daripada pihak musuh parti.

"Tapi apabila saya lihat ada juga ahli PAS yang terheret sama menyokong komentar musuh, maka saya rasa ada suatu yang perlu diperbetulkan sikap itu," katanya.

Kenyataan dibuat Mokhtar itu kini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan wujudnya bantahan meluas dalam kalangan ahli PAS terhadap pelantikan Nasrudin.

Tak setuju tamat kontrak

Nasrudin merupakan salah seorang pemimpin kanan PAS yang berprofil tinggi. Selain pernah menjadi ketua Pemuda PAS beliau sebelum ini diberikan tanggungjawab sebagai ketua penerangan.

Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu beliau kalah kepada Saifuddin Abdullah di kerusi parlimen Indera Mahkota. Nasrudin dilantik mengetuai Yadim dan menggantikan penyandang, Nik Omar Nik Abdul Aziz pada 15 Julai lalu. 

Nik Omar adalah lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod sebelum ini PAS giat mengkritik PH kerana membuat pelantikan jawatan tertentu dalam agensi kerajaan daripada kalangan ahli politik.


Baca Pemuda PAS tawar MP, teknokrat bantu Mahathir


Antara yang lantang membuat kritikan itu ialah Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, yang menegaskan jawatan seperti di Yadim perlu diisi oleh individu profesional bukannya pemimpin parti politik.

Khairil Nizam sendiri dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Mohktar berkata, bagi musuh PAS memang siapa pun yang dilantik ke jawatan di Yadim itu tetap tidak baik di mata mereka.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan

"Yang betul pada mereka ialah kekalkan Nik Omar di situ sampai matahari naik dari sebelah barat. Jadi sebenarnya bukan soal Ustaz Nasrudin yqng mereka tak setuju tapi ditamatkan kontrak Nik Omar itu yang mereka tak setuju.

"Selaku seorang ahli jemaah kita seharusnya melihat perlantikan (Nasrudin) itu sebagai keputusan jemaah dan restu pimpinan.

"Tapi kerana terbawa-bawa dengan kata-kata musuh maka kita lupa itu semua," jelasnya.

Lihat Komen
ADS