Satu kluster baru penularan Covid-19 yang ditemui di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor telah melonjakkan jumlah jangkitan harian di negara ini ke tahap tertinggi dalam masa sebulan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, negara hari ini mencatatkan 21 kes baru, 13 daripadanya adalah berasal dari kluster rumah warga emas di Kluang itu.

Jumlah kes hari ini adalah yang tertinggi sepanjang 30 hari. Kali terakhir negara mencatat angka yang sama atau paling tinggi adalah pada 20 Jun.

Daripada 13 kes baru di rumah warga emas ini, 12 kes melibatkan rakyat Malaysia dan seorang bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata, kluster baru tersebut dikesan setelah seorang lelaki berusia 72 tahun yang telah meninggal dunia dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom pada 17 Julai lalu. Dia dilaporkan sebagai kematian Covid-19 yang ke-123 semalam.

Berikutan kejadian itu, pengesanan kes aktif dimulakan dengan 39 orang diperiksa. 14 daripada mereka kemudiannya disahkan positif untuk Covid-19 (termasuk kematian semalam), 18 negatif dan tujuh lagi sedang menunggu keputusan mereka.

Kata Dr Noor Hisham, daripada 14 daripada mereka yang didapati positif itu, 11 adalah warga emas, seorang pekerja pusat itu dan seorang ahli keluarga.