Geng Tebuk tumpas, dua lelaki Vietnam dicekup polis
Polis menumpaskan kegiatan kumpulan penjenayah dianggotai warga Vietnam yang terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes pecah pasar raya dan kedai emas di daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Mereka yang digelar sebagai Geng Tebuk itu dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kerugian hampir RM1 juta.
Kegiatan mereka itu tumpas ekoran tertangkapnya dua lelaki di Taman Teratai Indah, Butterworth pada 15 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata sepasukan polis mengesan sebuah kereta dinaiki dua lelaki Vietnam berumur 33 dan 38 tahun di kawasan Jalan Raja Ud, kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Polis kemudian mengekori kenderaan jenis Proton Saga itu.
Kata Noorzainy, penahanan berkenaan dibuat hasil risikan dan intipan dijalankan polissejak seminggu lepas
"Apabila sampai di hadapan sebuah rumah di Taman Teratai Indah, kereta itu berhenti dan pasukan polis yang mengekori bertindak menghampiri kenderaan tersebut.
"Sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, dua lelaki terbabit terus melarikan diri namun berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi itu," katanya pada sidang media di Kepala Batas hari ini.
Masih bersembunyi di sekitar negeri
Katanya, pemeriksaan awal di dalam kereta dinaiki dua lelaki itu menemukan pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk memecah masuk pasar raya. Antaranya mesin pengisar, mesin pencanai, pemutar skru, pemotong kabel, spanar boleh laras dan pedang yang digunakan untuk pertahankan diri jika terserempak dengan sesiapa ketika melakukan jenayah.
Beliau berkata polis kemudian menyerbu sebuah rumah disewa dua lelaki itu di kawasan Mak Mandin dan menjumpai pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan mereka. Antaranya pakaian, peralatan elektrik, kasut serta sejumlah wang tunai dan resit penghantaran duit ke luar negara.

"Modus operandi mereka adalah melakukan pecah masuk pada waktu malam dengan mematikan penggera yang terdapat di dalam premis sebelum melarikan wang tunai serta barangan berharga.
"Dalam kejadian pecah kedai emas di Mak Mandin yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka, suspek melarikan barangan kemas serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM600,000.
"Terbaru, geng tersebut memecah masuk dua pasar raya di Teluk Air Tawar pada Selasa lalu menyebabkan RM50,000.
"Secara keseluruhan, enam kes itu membabitkan kerugian sebanyak hampir RM1 juta dan semua wang tersebut dihantar pulang kepada keluarga (mereka) di Vietnam," katanya.

Noorzainy berkata siasatan juga mendapati dua lelaki yang bekerja sebagai pemotong khinzir di Mak Mandin itu berada di negara ini sejak tiga tahun lepas dengan menggunakan pas lawatan sosial malah pemeriksaan pasport mereka juga mendapati ia palsu.
Tambahnya, kereta yang digunakan itu adalah milik rakan mereka - juga warga Vietnam - namun lelaki terbabit tinggal di Kuala Lumpur dan polis masih menjalankan siasatan sama ada dia turut terlibat dalam kes jenayah dilakukan suspek.
"Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki warga Vietnam dikenali sebagai Ngujen Van Cong dan Bui Van Manh yang dipercayai ahli geng itu dan rakan kepada suspek ditahan.
"Kedua-dua mereka berusia 32 tahun. Kami percaya mereka masih bersembunyi di sekitar negeri ini," katanya.
Menurutnya, dua lelaki yang ditahan itu direman sehingga 28 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
- Bernama

